Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

JPN Sahkan Tiada Dokumen Pengenalan Diri Dimiliki Warga Asing Ditahan Di Kuantan

jpn
Gambar: Imigresen

JPN Sahkan Tiada Dokumen Pengenalan Diri Dimiliki Warga Asing Ditahan Di Kuantan

Tiada sebarang dokumen pengenalan diri yang dikeluarkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) ditemui dalam pemilikan seorang lelaki warga Bangladesh yang ditahan selepas disyaki memiliki sebuah pasport Malaysia bukan miliknya dalam operasi khas di Kuantan, Pahang, semalam.

JPN dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, suspek ditahan hasil operasi bersama Jabatan Imigresen (JIM) susulan risikan media sosial atau Open Source Intelligence (OSINT) berhubung penularan gambar seorang individu memegang pasport Bangladesh bersama Pasport Malaysia Antarabangsa (PMA).

"Hasil risikan awal, mendapati individu tersebut aktif dibeberapa platform media sosial seperti Facebook, TikTok dan Threads. Analisis terhadap kandungan yang dimuat naik menunjukkan individu berkenaan dipercayai bekerja dalam sektor pembinaan di Malaysia.

"Pada masa yang sama, suspek turut memaparkan sebuah Pasport Malaysia yang disyaki bukan miliknya, sekali gus menimbulkan keperluan untuk tindakan pengesanan dan pengesahan segera oleh pihak berkuasa," kata kenyataan itu.

Tambah JPN, pihaknya bersama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Pahang telah menubuhkan satu pasukan petugas bagi menjalankan risikan, mengesan serta mengenal pasti identiti individu terbabit.

"Hasil koordinasi strategik dan tindakan bersepadu kedua-dua agensi berjaya membuahkan hasil apabila dalam tempoh kurang daripada 24 jam, lokasi individu terbabit berjaya dikenal pasti sebelum operasi penguatkuasaan dilaksanakan.

"Hasil operasi yang dijalankan pasukan petugas JPN dan JIM berjaya mengesan dan menangkap suspek tersebut di sebuah kontena sekitar Jalan Kuantan-Bandar Damansara, Kuantan, Pahang pada 4 Julai 2026, jam 6.30 petang.

"Suspek berwarganegara Bangladesh dan memiliki Pasport Bangladesh. Melalui operasi tersebut juga turut dijumpai bersama suspek pasport Malaysia yang disyaki bukan miliknya.

"Justeru, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti bagaimana dokumen tersebut diperoleh, tujuan pemilikannya serta sama ada terdapat unsur penyalahgunaan dokumen perjalanan, penyamaran identiti atau kesalahan lain di bawah peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa," katanya.

Suspek telah dibawa ke Pejabat Imigresen Kuantan untuk tindakan dan siasatan lanjut.

Sehubungan itu, turut menyeru orang ramai supaya terus menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti yang disyaki melibatkan penyalahgunaan identiti atau dokumen perjalanan negara.

Setiap maklumat yang diterima akan disiasat secara profesional dan tindakan sewajarnya akan diambil mengikut peruntukan undang-undang.

"JPN akan terus memperkukuh keupayaan risikan, perkongsian maklumat serta kerjasama strategik bersama Jabatan Imigresen Malaysia, Polis Diraja Malaysia dan agensi penguat kuasa lain bagi membanteras penyalahgunaan identiti, pemalsuan dokumen serta sebarang ancaman yang boleh menjejaskan keselamatan dan kedaulatan sistem pengenalan diri negara," katanya lagi.