Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Kajian Dedah Orang Ramai Dah Tak Dapat Bezakan Lagu Ciptaan Manusia Atau AI

lagu ciptaan manusia atau ai
Kredit: Image FX

Kajian Dedah Orang Ramai Dah Tak Dapat Bezakan Lagu Ciptaan Manusia Atau AI

Kajian terbaru mendapati orang ramai tidak lagi dapat membezakan muzik yang dihasilkan oleh kecerdasan buatan (AI) dan yang dicipta oleh manusia, lapor AFP.

Menerusi kajian yang dijalankan untuk platform penstriman Deezer yang berpangkalan di Perancis, firma pengundian Ipsos meminta 9,000 orang mendengar dua muzik iaitu yang dijana oleh AI dan satu lagi hasil ciptaan manusia.

“97 peratus tidak dapat membezakan antara muzik yang dihasilkan sepenuhnya oleh AI dan muzik ciptaan manusia,” kata Deezer.

Tinjauan itu telah dijalankan antara 6 hingga 10 Oktober di lapan buah negara iaitu Brazil, Britain, Kanada, Perancis, Jerman, Jepun, Belanda dan Amerika Syarikat (AS).

Deezer berkata lebih separuh daripada responden berasa tidak selesa kerana tidak dapat membezakan dua muzik tersebut.

Penyelidik juga bertanya soalan yang lebih luas tentang kesan AI, dengan 51 peratus mengatakan teknologi itu akan membawa kepada lebih banyak muzik berkualiti rendah pada platform penstriman dan hampir dua pertiga percaya ia akan membawa kepada kehilangan kreativiti.

“Hasil tinjauan jelas menunjukkan bahawa orang ramai mengambil berat tentang muzik dan ingin tahu sama ada mereka mendengar AI atau lagu buatan manusia atau tidak,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Deezer, Alexis Lanternier.

BACA: AI Dilapor Berjaya Kesan Asteroid Besar Yang Gagal Dikesan Saintis

Menurut Deezer lagi, bukan sahaja terdapat peningkatan besar dalam kandungan yang dijana oleh AI dimuat naik ke platformnya, malah kandungan itu juga distrim oleh orang ramai.

Pada bulan Januari, satu daripada setiap 10 lagu yang distrim setiap hari adalah sepenuhnya dijana oleh AI.

10 bulan kemudian, peratusan itu meningkat kepada hampir 40,000 lagu sehari.

Justeru, 80 peratus daripada responden meminta agar muzik yang dijana sepenuhnya oleh AI dilabelkan dengan jelas untuk pendengar.

Untuk pengetahuan, Deezer ialah satu-satunya platform penstriman muzik utama yang secara sistematik melabelkan kandungan yang dijana sepenuhnya oleh AI untuk pengguna.

Isu ini menjadi perhatian pada bulan Jun apabila sebuah kumpulan muzik bernama The Velvet Sundown tiba-tiba tular di Spotify dan hanya mengesahkan pada bulan berikutnya bahawa karya mereka sebenarnya dijana oleh AI.

Lagu paling popular daripada kumpulan AI itu telah distrim lebih daripada tiga juta kali.

Sebagai respons, Spotify berkata pihaknya akan menggalakkan artis dan penerbit untuk menandatangani kod industri sukarela bagi mendedahkan penggunaan AI dalam penghasilan muzik.

Sumber: AFP