Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

‘Kalau Boleh Patah Balik Umur 25 Tahun’ Soalan Lelaki Ini Buat Ramai Kongsi Nasihat Kewangan

kewangan
Gambar hiasan.

‘Kalau Boleh Patah Balik Umur 25 Tahun’ Soalan Lelaki Ini Buat Ramai Kongsi Nasihat Kewangan

Kalau diberi peluang untuk kembali ke usia 25 tahun, apakah satu perkara yang anda akan ubah?

Soalan yang nampak ringkas itu rupa-rupanya membuka ruang kepada ribuan perkongsian penuh makna apabila seorang pengguna Threads meminta orang ramai berkongsi nasihat kewangan yang mereka harap dapat diberikan kepada diri sendiri ketika masih muda.

Rata-rata netizen bukan sahaja berkongsi pengalaman, malah mengakui beberapa kesilapan kewangan yang dilakukan pada usia muda menjadi pengajaran paling berharga dalam hidup.

Menerusi satu hantaran di Threads, pengguna @radziothman berkata, dia mahu membuat satu kajian kecil berkaitan nasihat kewangan.

"Saya nak buat kajian kecil. Kalau boleh undur masa ke umur 25 tahun... satu nasihat kewangan apa yang awak akan bagi pada diri sendiri? Saya percaya ramai anak muda perlukan jawapan-jawapan ni."

Hantaran tersebut kemudiannya dibanjiri pelbagai pandangan daripada netizen yang berkongsi tip berdasarkan pengalaman masing-masing.

Seorang pengguna, @ixarazen, yang berusia 26 tahun berkata, disiplin dalam mengurus kewangan sejak awal merupakan perkara paling penting.

Menurutnya, antara perkara yang perlu dielakkan ialah menggunakan kemudahan sPayLater untuk tempoh bayaran yang panjang kerana ia boleh dikenakan faedah.

"Jangan ambil sPayLater bayar 6 hingga 12 bulan. Ambil satu atau tiga bulan sahaja sebab tiada faedah."

Selain itu, katanya, anak muda perlu menyimpan sekurang-kurangnya 40 hingga 50 peratus daripada gaji setiap bulan, mengurangkan perbelanjaan membeli minuman manis, memasak sendiri di rumah serta menyediakan tabung khas untuk pembaharuan cukai jalan kenderaan.

Menurutnya lagi, wang simpanan dalam KWSP juga tidak sepatutnya dikeluarkan walaupun melalui Akaun 3, selain memastikan kenderaan diservis setiap enam bulan bagi mengelakkan kos baik pulih yang lebih tinggi.

Sementara itu, seorang lagi pengguna, @iza_faizal83, yang berusia 43 tahun berkata, antara perkara yang paling disesalinya ialah membeli rumah yang terlalu besar.

Menurutnya, rumah teres setingkat dengan keluasan sederhana lebih praktikal apabila anak-anak sudah dewasa dan mula meninggalkan rumah.

"Please jangan beli rumah teres dua tingkat. Beli sahaja rumah setingkat yang sederhana besar sekitar 1,600 kaki persegi. Percayalah, mula-mula sahaja rasa seronok rumah besar. Bila anak-anak dah dewasa, masuk universiti atau berkahwin, memang akan rasa menyesal."

Selain itu, katanya, pelaburan emas juga wajar dijadikan amalan sejak muda.

Menurutnya, membeli barang kemas seberat kurang daripada tiga gram setiap empat bulan mampu mengumpulkan kira-kira 120 gram emas dalam tempoh 10 tahun, sekali gus menjadi aset yang bernilai apabila diperlukan.

Dalam masa sama, beliau turut mengingatkan supaya menjaga kesihatan kerana ia merupakan aset paling berharga yang sering diabaikan ketika usia masih muda.

Seorang lagi pengguna, @miornurzaidin, pula berkata, anak muda seharusnya meluangkan lebih banyak masa bersama individu yang mempunyai pengalaman kerja 10 hingga 30 tahun berbanding hanya berkawan dengan rakan sebaya.

Menurutnya, nasihat dan pengalaman daripada golongan lebih berusia mampu memberikan perspektif berbeza mengenai kehidupan, kerjaya dan kewangan.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan bahawa perkara itu bukan bermaksud memutuskan hubungan dengan rakan sebaya, sebaliknya hanya mengimbangi masa dengan lebih ramai individu yang berpengalaman.

Perkongsian tersebut menerima pelbagai reaksi daripada netizen yang bersetuju bahawa pengurusan kewangan bukan sekadar tentang jumlah pendapatan, tetapi bagaimana seseorang mengawal perbelanjaan, membuat simpanan dan merancang masa depan sejak usia muda.