Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Kampung Atas Air Tertua Di Eropah, Dipercayai Berusia Kira-kira 8,000 Tahun Ditemui

kampung atas air tertua eropah
Gambar: AFP

Kampung Atas Air Tertua Di Eropah, Dipercayai Berusia Kira-kira 8,000 Tahun Ditemui

Sekumpulan ahli arkeologi menemui bukti-bukti penempatan atas air, dipercayai berusia kira-kira 8,000 tahun di Tasik Ohrid, di Albania. Misterinya, kampung berkenaan dipercayai dikelilingi kubu berupa ribuan papan berduri atau pancang sebagai benteng pertahanan.

Menurut laporan AFP, penemuan berkenaan sekaligus menjadikan ia berkemungkinan perkampungan atas air tertua di Eropah.

Berdasarkan data pentarikhan karbon yang dibuat di lokasi penemuan, kampung tersebut dipercayai dibina sekitar 6,000 hingga 5,800 Sebelum Masihi (SM).

Perkampungan berkenaan dipercayai menempatkan kira-kira 200 hingga 500 penduduk dengan rumah-rumah dibina diatas tiang di atas permukaan tasik atau dibina di kawasan daratan yang sering dinaiki air.

Kampung atas air tertua di Eropah ditemui

”Ia beberapa ratus tahun lebih tua berbanding perkampungan-perkampungan atas air yang ditemui sebelum ini di Mediterranean dan rantau Alphine yang lain.

”Setakat yang kami tahu, kampung ini mungkin berusia sekitar 8,000 tahun,” kata Albert Hafner.

Albert Hafner merupakan seorang profesor arkeologi berasal dari Switzerland yang kini bertugas di Universiti Bern.

Sebelum ini, perkampungan atas air tertua yang ditemui di Eropah terletak di Itali yang dipercayai dibina sekitar tahun 5,000 SM.

Semasa kerja-kerja arkelogi dijalankan, penyelidik juga menemui beberapa bukti mekanisme pertahanan yang dibina bagi melindungi kampung-kampung berkenaan.

Antara beribu-ribu papan berduri atau pancang yang ditemui di dasar tasik berkenaan.

”Untuk membina pertahanan seperti ini, penduduk kampung ketika itu mungkin perlu menebang kawasan hutan,” kata Hafner lagi.

Bagaimanapun, penemuan tersebut turut menimbulkan persoalan misteri. Antara penyelidik buntu mengapa penduduk kampung berkenaan perlu membina sistem pertahanan sebegitu rumit.

Penyelidik menganggarkan terdapat kira-kira 100,000 pancang yang kini terdampar di dasar tasik tersebut.

Selain itu, ahli arkeologi juga menemui beberapa bukti lain seperti biji benih tanaman dan juga tulang-tulang haiwan. Ketika ini, penyelidik mengandaikan penghuni kampung tersebut bergantung kepada aktiviti pertanian dan penternakan untuk membekalkan makanan.

Bagaimanapun, penyelidik memerlukan masa selama dua dekad untuk mengkaji keseluruhan tapak berkenaan sebelum sebarang kesimpulan dibuat.

Tasik Ohrid merupakan antara salah satu tasik tertua di dunia dan dipercayai sudah pun berusia lebih daripada sejuta tahun.

Kumpulan-kumpulan ahli arkelogi yang sering menjalankan penyelidikan di dasar tasik tersebut seringkali menemui fosil fragmen kayu seperti kayu oak.

BACA: Guna Cawan Plastik, Cara Susun Langsir Eyelet Bagi Nampak ‘Berombak’ Elok

Sumber: AFP