Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Kanak-Kanak Lelaki Cedera Kaki Digilis Tayar Kenderaan Penunda

Kanak-Kanak Lelaki Cedera Kaki Digilis
Ibu mangsa, Puteri Anis Athirah Wan Rosli, 36, menunjukkan gambar anaknya kepada pemberita ketika ditemui di Jabatan Kecemasan Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini hari ini. Mangsa kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun cedera pada kaki kiri didakwa akibat digilis tayar kenderaan tunda membawa aset sebuah jabatan yang terlibat dalam acara perarakan Hari Kebangsaan 2026 di sini pagi tadi. Gambar: Bernama

KUALA TERENGGANU, 31 Ogos (Bernama) -- Seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun cedera pada kaki kiri didakwa akibat digilis tayar kenderaan tunda membawa aset sebuah jabatan yang terlibat dalam acara perarakan Hari Kebangsaan 2026 di sini pagi tadi.

Ibu mangsa Puteri Anis Athirah Wan Rosli, 36, dari Cendering berkata kejadian berlaku pada 9.45 pagi di hadapan Wisma Persekutuan selepas anaknya Che Ku Muhammad Khairul Amir Che Ku Mohd Khairul Azlan terjatuh sebelum digilis kenderaan tunda yang membawa bot.

“Semasa kenderaan membawa bot itu berhenti beberapa kali di hadapan Wisma, anak perempuan saya yang berusia tujuh tahun berlari ke hadapan untuk mengambil gambar dan anak lelaki saya juga ikut sama.

“Apabila anggota terlibat cuba menolak dia ke tepi untuk keselamatan, anak saya terjatuh tersembam sebelum kakinya digilis tayar kenderaan,” katanya ketika ditemui di Jabatan Kecemasan Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini hari ini.

Puteri Anis Athirah berkata ujian sinar-X mendapati tiada tulang yang patah, namun anaknya masih di bawah pemantauan pihak hospital.

Pada masa sama, wanita itu berterima kasih kepada polis yang bertindak segera dan membantu mengiringi ambulans membawa anaknya ke hospital pada 10.15 pagi.

“Saya tidak menyalahkan mana-mana anggota terlibat. Mereka bertindak mengawal keselamatan dan pergerakan aset. Saya tahu kejadian ini tidak disengajakan dan berlaku kerana keterujaan anak sendiri,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Azli Mohd Noor mengesahkan kejadian dan punca sebenar masih dalam siasatan.

Intipati
  • Kanak-kanak lelaki tiga tahun cedera kaki kiri didakwa digilis tayar kenderaan tunda.
  • Kejadian berlaku di hadapan Wisma Persekutuan ketika perarakan Hari Kebangsaan 2026.
  • Sinar-X mendapati tiada tulang patah, namun mangsa masih dipantau pihak hospital.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan