Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Kanak-Kanak Tujuh Tahun Cedera Diserang Enam Anjing Liar Di Lima Kedai

CEDERA
Kredit: Bernama

ISKANDAR PUTERI, 12 Okt (Bernama) -- Seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun cedera selepas diserang sekumpulan enam hingga lapan anjing liar ketika bermain di sebuah padang permainan berhampiran flat perumahan kos rendah di Lima Kedai di sini petang tadi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Iskandar Datuk Pandak Ahmad berkata dalam kejadian kira-kira pukul 3 hingga 4 petang itu, mangsa dipercayai sedang bermain sebelum diserang sekumpulan anjing, menyebabkannya terjatuh dan berguling di padang ketika cuba menyelamatkan diri.

“Mujur ada seorang lelaki yang menyedari kejadian itu bertindak membaling batu ke arah anjing terbabit dari jauh, sekali gus membantu menyelamatkan kanak-kanak itu.

“Saya dimaklumkan oleh ketua kampung di kawasan terbabit sebelum bertindak pergi ke flat berkenaan untuk meninjau kawasan itu,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Pandak berkata mangsa mengalami kecederaan pada bahagian mata, leher, kepala dan badan sebelum dikejarkan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru untuk mendapatkan rawatan.

Beliau berkata kejadian seperti itu amat membimbangkan dan memerlukan tindakan segera pihak berkuasa bagi menangani masalah anjing liar yang mengancam keselamatan penduduk.

Menurut Pandak, kejadian itu bukan insiden pertama di kawasan berkenaan apabila seorang remaja lelaki berusia 15 tahun turut diserang sekumpulan lapan anjing liar kira-kira 6 pagi hari yang sama.

“Remaja itu berjaya menghalau haiwan berkenaan sebelum melarikan diri ke tangga bangunan, namun mengalami kecederaan pada kaki.

“Saya telah bertemu remaja berkenaan dan memintanya mendapatkan rawatan di klinik berhampiran manakala kanak-kanak berusia tujuh tahun itu masih menerima rawatan di HSA,” katanya.

Pandak berkata perkara itu telah dimaklumkan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) dan beliau difahamkan Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) akan menjalankan operasi pada malam ini bagi menangani masalah anjing liar di kawasan itu.

Beliau berkata tindakan sewajarnya perlu dilaksanakan segera meskipun berkemungkinan menerima bantahan daripada badan bukan kerajaan (NGO) demi memastikan keselamatan penduduk, khususnya kanak-kanak.

“Sampai bila kita hendak biarkan perkara ini berlaku? Takkan hendak tunggu ada kematian baru tindakan diambil?” katanya.

Dalam kejadian pada 5 Sept lepas, seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun, Nur Haira Wafiqah Mohammad Hamizi dilaporkan mengalami kecederaan parah selepas diserang lima anjing di Kampung Tambak, Peserai, Batu Pahat.

Mangsa mengalami kecederaan parah pada beberapa bahagian badan akibat serangan haiwan berkenaan.

-- BERNAMA

Intipati
  • Kanak-kanak tujuh tahun cedera selepas dipercayai diserang anjing liar di Lima Kedai.
  • Mangsa mengalami kecederaan pada mata, leher, kepala dan badan, lalu dibawa ke HSA.
  • MBIP difahamkan akan menjalankan operasi malam ini bagi menangani masalah anjing liar.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan