Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilancarkan selepas sebuah kapal feri yang membawa 243 orang dilaporkan putus hubungan ketika dalam perjalanan dari Surabaya, Jawa Timur ke Banjarmasin, Kalimantan Selatan, Indonesia pada Ahad.
Pejabat SAR Banjarmasin memaklumkan pihaknya menerima laporan bahawa kapal Virgo Transport 8 mengalami masalah komunikasi ketika dalam pelayaran menuju Banjarmasin.
Menurut laporan, kapal berkenaan dipercayai berada di Laut Jawa, kira-kira 150 kilometer dari Banjarmasin, ketika hubungan dengannya terputus.
Ketua Operasi Agensi SAR Banjarmasin, Arianto Ardi, mengesahkan kejadian itu dan berkata pasukan penyelamat telah dihantar ke lokasi terakhir kapal berkenaan dikesan.
“Kami telah menubuhkan pos operasi di Trisakti,” katanya.
Menurut pihak berkuasa, pengendali kapal melaporkan kejadian itu selepas menerima maklumat bahawa kapal berkenaan berdepan cuaca buruk ketika dalam pelayaran.
Agensi SAR Indonesia berkata kapal itu tidak dapat dihubungi dan kedudukannya masih belum diketahui.
Kapal berkenaan dilaporkan kali terakhir berada di Laut Jawa, kira-kira 150 kilometer dari selatan Banjarmasin, sekitar jam 2 pagi waktu tempatan pada Ahad.
Pasukan SAR yang terdiri daripada enam anggota dijangka mengambil masa kira-kira lima jam untuk tiba di lokasi terakhir kapal itu dilaporkan berada.


