Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

5 Fakta Gempa Magnitud 6.5 Goncang Kepulauan Seribu, Gegaran Dirasai Hingga Sumatera Barat

GEMPA
Gambar: Google Map

Kepulauan Seribu, DKI Jakarta digegarkan gempa bumi bermagnitud 6.5 pada awal pagi Sabtu, 12 September 2026.

Gempa yang berlaku pada 4.23 pagi waktu Indonesia Barat (WIB) itu pada awalnya direkodkan bermagnitud 5.9 sebelum dikemas kini kepada 6.5.

Menurut maklumat Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofizika (BMKG), gempa itu tidak mencetuskan potensi tsunami.

Lokasi gempa dikesan pada koordinat 5.24 darjah Selatan dan 106.78 darjah Timur, kira-kira 69 kilometer timur laut Kepulauan Seribu pada kedalaman 368 kilometer.

Menariknya, gegaran tersebut bukan sahaja dirasai di Jakarta dan Jawa Barat, malah turut dirasai di beberapa kawasan di Jawa Tengah, Jawa Timur dan Sumatera Barat.

Berikut beberapa fakta menarik mengenai gempa bumi Kepulauan Seribu yang dilaporkan media Indonesia.

1. Gempa Berlaku Akibat Aktiviti Intraslab

Direktur Gempa Bumi dan Tsunami BMKG, Wijayanto berkata, gempa tersebut merupakan gempa bumi dalam yang berpunca daripada aktiviti intraslab.

“Dengan memperhatikan lokasi episenter dan kedalaman hiposenternya, gempa bumi yang terjadi merupakan jenis gempa bumi dalam akibat aktiviti intraslab.

“Hasil analisis mekanisme sumber menunjukkan bahawa gempa bumi memiliki mekanisme pergerakan geser turun (oblique normal),” katanya.

Menurut BMKG, gempa intraslab berlaku akibat pecahnya batuan di dalam slab atau kepingan lempeng bumi.

Gempa jenis ini mempunyai ciri gegaran permukaan yang boleh dirasai lebih kuat berbanding gempa dengan magnitud sama daripada sumber lain.

2. Gegaran Dirasai Hingga Malang Dan Padang

Walaupun pusat gempa berada di laut berhampiran Kepulauan Seribu, gegarannya dirasai di kawasan yang jauh dari lokasi episenter.

Antara kawasan yang merekodkan gegaran ialah Pandeglang, Lebak, Serang, Sukabumi, Cianjur, Tanggamus, Tangerang, Tanjung Priok dan Cilacap.

Gegaran turut dirasai di Rancaekek, Lembang, Garut, Bandung, Yogyakarta, Pacitan, Ponorogo, Kabupaten Malang, Bengkulu, Sumur, Padang, Mentawai, Pariaman dan Solok Selatan.

Di beberapa kawasan seperti Lemong, Semaka dan Bengkunat pula, gegaran direkodkan pada tahap II MMI.

Menurut skala MMI, tahap IV boleh menyebabkan gegaran dirasai ramai orang di dalam bangunan, selain barangan kaca pecah serta pintu dan tingkap berderik.

Pada tahap II hingga III MMI pula, gegaran biasanya dirasai dalam rumah dan boleh terasa seperti sebuah lori sedang melalui kawasan berhampiran.

3. Perjalanan KRL Dihentikan Sementara

Kesan gempa turut menyebabkan perjalanan Kereta Rel Elektrik (KRL) di beberapa laluan dihentikan buat sementara waktu.

KAI Commuter Line memaklumkan langkah itu diambil bagi membolehkan pemeriksaan menyeluruh terhadap landasan dilakukan selepas gempa.

“Telah terjadi gempa pada pukul 04.23 WIB di Kepulauan Seribu DKI Jakarta. Perjalanan Commuter Line diberhentikan sementara waktu guna pengecekan jalur terlebih dahulu secara menyeluruh,” menurut kenyataan menerusi akaun X.

Pemeriksaan selesai pada 5.26 pagi dan perjalanan bagi laluan Bogor, Cikarang, Rangkasbitung serta Tanjung Priok kembali beroperasi seperti biasa.

4. Lapan Perjalanan Kereta Api Dihentikan Sementara

Bukan hanya KRL, lapan perjalanan kereta api di wilayah Daerah Operasi (Daop) 5 Purwokerto turut dihentikan sementara sebagai langkah keselamatan.

Petugas melakukan pemeriksaan terhadap prasarana kereta api termasuk landasan, jambatan, terowong dan kemudahan sokongan operasi.

Lapan perjalanan yang terlibat ialah kereta penumpang serta kereta api pengangkutan barang dengan tempoh pemberhentian antara 20 minit hingga hampir sejam.

Antaranya KA 64B Manahan yang berhenti selama 20 minit, KA 274 Kahuripan selama 31 minit, KA 258B Progo selama 24 minit dan KA 288 Serayu selama 55 minit.

Empat lagi ialah KA 2506 Angkutan BBM selama 59 minit, KA 305 Angkutan Retail selama 39 minit, KA 2711 Angkutan Semen selama 31 minit dan KA 2721 Angkutan Semen selama 32 minit.

5. Kepulauan Seribu Kekal Selamat

Pemerintah Provinsi (Pemprov) DKI Jakarta pula memaklumkan keadaan beberapa pulau di Kepulauan Seribu masih selamat dan aktiviti penduduk berjalan seperti biasa.

Staf Khas Gabenor DKI Jakarta Bidang Komunikasi Awam, Chico Hakim berkata, BPBD DKI bersama Bupati Kepulauan Seribu serta petugas di lapangan terus memantau keadaan selepas gempa.

“Warga Kepulauan Seribu tetap tenang. Pulau-pulau dalam kondisi aman, aktiviti berjalan seperti biasa.

“Pemprov DKI bersama BPBD dan pemerintah kabupaten terus memantau situasi,” katanya.

Menurutnya, setakat pagi berkenaan tiada laporan mengenai kerosakan bangunan, infrastruktur atau korban akibat gempa.

Malah, di Pulau Kelapa, terdapat penduduk yang tidak merasai gegaran dan hanya mengetahui kejadian itu menerusi maklumat rasmi.

6. Tiada Gempa Susulan Direkodkan Ketika Laporan Dibuat

Pemprov DKI Jakarta terus berkoordinasi dengan BMKG bagi memantau perkembangan keadaan dan kemungkinan kesan susulan daripada gempa tersebut.

Orang ramai turut diminta mendapatkan maklumat menerusi saluran rasmi BMKG dan BPBD DKI Jakarta serta tidak menyebarkan berita yang belum dapat disahkan.

Setakat tengah hari ketika laporan berkenaan dibuat, BMKG belum merekodkan sebarang gempa susulan.

7. Netizen Kaitkan Dengan Ramalan Gempa Besar

Dalam perkembangan lain, kejadian itu turut mengundang perhatian pengguna media sosial yang mengaitkannya dengan ramalan seorang peramal cuaca dari Kanada, Frankie MacDonald.

Seorang pengguna Threads, @nyzamferiy, berkongsi bahawa gempa bermagnitud 5.9 yang kemudiannya dikemas kini kepada 6.5 itu mengingatkannya kepada ramalan berkenaan.

Menurut perkongsian tersebut, Frankie MacDonald pernah mendakwa Indonesia akan dilanda gempa besar bermagnitud antara 7.0 hingga 9.0 sebelum penghujung 2026.

Namun, perkara itu merupakan perkongsian pengguna media sosial dan bukan ramalan rasmi BMKG.

Gempa Bumi Tidak Semestinya Berakhir Dengan Tsunami

Gempa bumi yang kuat sememangnya boleh menimbulkan kebimbangan, namun tidak semua gempa akan menyebabkan tsunami.

Dalam kejadian di Kepulauan Seribu ini, BMKG memaklumkan tiada potensi tsunami.

Peristiwa tersebut juga menjadi peringatan kepada orang ramai supaya mendapatkan maklumat berkaitan gempa bumi melalui agensi rasmi dan tidak mudah mempercayai ramalan atau dakwaan yang belum disahkan.

Intipati
  • Gempa bermagnitud 6.5 berlaku di Kepulauan Seribu pada kedalaman 368 kilometer.
  • BMKG memaklumkan gempa intraslab itu tidak mencetuskan potensi tsunami atau susulan.
  • KRL dan lapan perjalanan kereta api dihentikan sementara bagi pemeriksaan keselamatan.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan