Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Karnival Pendidikan MARA 2026 Kedah Tawarkan Kemasukan Terus Generasi Muda

Syamimi
MARA

Karnival Pendidikan MARA 2026 Kedah Tawarkan Kemasukan Terus Generasi Muda

Majlis Amanah Rakyat (MARA) terus memperkukuh peranannya dalam memperkasa pendidikan negara menerusi penganjuran Karnival Pendidikan MARA 2026 Peringkat Negeri Kedah yang berlangsung selama dua hari iaitu 4 & 5 April di Aman Central.

Berlangsung dari jam 10.00 pagi hingga 10.00 malam, karnival ini menghimpunkan pelbagai institusi pendidikan serta subsidiari MARA dalam menyediakan akses terus kepada maklumat pengajian, pembiayaan dan laluan kerjaya kepada pelajar serta ibu bapa.

Mengangkat tema “Destinasi Ilmu Inspirasi Global”, program ini menjadi platform sehenti yang memudahkan pengunjung mendapatkan maklumat lengkap berkaitan peluang pendidikan tinggi di bawah MARA, merangkumi institusi seperti Universiti Kuala Lumpur, TVET MARA, German-Malaysian Institute, Kolej Poly-Tech MARA, GIATMARA serta beberapa IPTS terpilih.

Antara pengisian utama termasuk peluang permohonan pengajian secara terus, semakan serta tawaran kemasukan, sesi konsultasi pendidikan dan kerjaya, perkongsian inspirasi alumni serta penerangan berkaitan pembiayaan pendidikan.

Pengunjung yang memenuhi syarat turut berpeluang menerima tawaran kemasukan serta-merta (on-the-spot offer), sekali gus mempercepatkan laluan ke institusi pilihan.

Majlis turut diserikan dengan sesi walkabout oleh Pengarah MARA Negeri Kedah, Encik Rizal Effendi bin Razali yang meninjau penglibatan institusi serta sambutan pengunjung sepanjang karnival berlangsung.

Dalam sesi tersebut, Yayasan Pelajaran MARA turut menyampaikan sumbangan pendidikan kepada seramai 200 pelajar Tingkatan 5 daripada sekolah-sekolah terpilih iaitu:

• MRSM Pendang – 39 pelajar

• SMKA Kedah – 40 pelajar

• SMK Sultanah Asma – 40 pelajar

• SMK Dato’ Syed Omar – 40 pelajar

• SMK Tunku Abdul Malik – 40 pelajar

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif (Kumpulan) MARA Inc. Corporation, Encik Yahaya bin Sani serta Ketua Pegawai Operasi KPTM, Encik Mohamed Saifuddin bin Hussin bersama barisan kepimpinan institusi pendidikan MARA dan subsidiari di Negeri Kedah.

Kehadiran kepimpinan ini mencerminkan komitmen berterusan MARA dalam memastikan akses pendidikan berkualiti terus diperkasa selaras dengan keperluan pembangunan modal insan negara.

Selain itu, pelbagai aktiviti sampingan seperti cabutan bertuah dan sesi interaktif bersama institusi turut diadakan, menjadikan karnival ini bukan sahaja informatif malah menarik kepada semua lapisan masyarakat.

Orang ramai khususnya pelajar lepasan SPM dan STPM serta ibu bapa dijemput hadir bagi mendapatkan maklumat secara terus serta merancang masa depan pendidikan dan kerjaya dengan lebih yakin.