KUALA LUMPUR, 12 Oktober 2026 – Bakat ada di mana-mana, tetapi peluang tidak selalunya sama rata. Atas keyakinan inilah Petrosains Tech4All terus memperluas akses kepada pendidikan STEM, robotik dan kecerdasan buatan (AI) untuk anak-anak Orang Asli dan Peribumi, sekali gus membuka ruang kepada mereka untuk meneroka potensi, membina keyakinan dan bersedia menghadapi masa depan yang semakin dipacu teknologi.
Memasuki tahun ketiga penganjurannya, inisiatif Petrosains, cabang impak sosial PETRONAS dalam bidang pendidikan, mencapai satu lagi pencapaian menerusi Pertandingan Peringkat Kebangsaan Petrosains Tech4All 2026 di Petrosains, The Discovery Centre. Tahun ini, pertandingan tersebut menghimpunkan 20 guru dan 40 murid daripada 10 sekolah komuniti Orang Asli dan Peribumi dari Johor, Kelantan, Pahang, Selangor, Sabah dan Sarawak.
Bagi kebanyakan peserta, ini merupakan pengalaman pertama mereka bersaing di pentas kebangsaan, dengan mengetengahkan penyelesaian inovatif berasaskan cabaran dunia sebenar melalui robotik, pengekodan dan pemikiran komputasional. Pencapaian mereka membuktikan bahawa bakat dan potensi ada di mana-mana apabila akses dan peluang diberikan. Usaha ini turut mendukung aspirasi AI Nation 2030 dalam melahirkan masyarakat Malaysia yang lebih inklusif, berkeupayaan digital dan dipacu inovasi.
Sepanjang dua hari pertandingan, para peserta membentangkan projek dan inovasi masing-masing kepada panel juri, sekali gus mempamerkan kreativiti, kecekapan teknikal serta kebolehan menyelesaikan masalah. Lebih daripada penguasaan teknologi, pertandingan ini turut mengasah pemikiran kritis, kemahiran bekerjasama dan berkomunikasi, serta keupayaan menyelesaikan masalah yang semakin penting dalam mendepani era digital.
Antara inovasi yang mencuri perhatian ialah Smart Object Recycling Technology (S.O.R.T.), hasil ciptaan pelajar SMK Long Bedian (K11), Sarawak yang dinobatkan sebagai juara pertandingan. Menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI), S.O.R.T. dibangunkan bagi memudahkan dan mempercepatkan proses pengasingan sisa di sekolah. Sistem ini mampu mengenal pasti dan mengelaskan sisa seperti tin, plastik dan kertas, sekali gus membantu memupuk kesedaran dalam kalangan pelajar tentang kepentingan kelestarian alam sekitar.
“Kami menghasilkan S.O.R.T. kerana mahu membantu Aunty Siti, pekerja pembersihan di sekolah kami, supaya proses mengasingkan sampah menjadi lebih mudah dan menjimatkan masa. Dengan menggunakan kecerdasan buatan (AI) dan Teachable Machine, sistem ini boleh mengimbas serta mengenal pasti jenis sisa seperti tin, plastik dan kertas, sebelum menentukan tong sampah yang sesuai untuk dibuka. Pada masa yang sama, kami berharap projek ini dapat membantu pelajar lebih memahami kepentingan menjaga alam sekitar. Ini kali pertama kami menyertai Petrosains Tech4All, jadi kami sangat gembira dan bangga apabila berjaya menjadi juara. Pengalaman ini juga memberi kami peluang untuk mempelajari perkara baharu dan terus menambah baik projek kami,” kata Agustus Antonio Galvin, 12, dari SMK Long Bedian, Sarawak, yang bercita-cita menjadi seorang arkitek.
Sementara itu, guru pembimbing mereka menyifatkan kejayaan tersebut sebagai sesuatu yang amat bermakna, lebih-lebih lagi kerana ini merupakan penyertaan pertama sekolah dalam Petrosains Tech4All.
“Sebagai penyertaan pertama kami dalam Petrosains Tech4All, kejayaan mara ke kelompok 10 terbaik sudah cukup membanggakan, apatah lagi apabila pelajar kami akhirnya dinobatkan sebagai juara. Projek ini menggabungkan pengekodan Arduino dengan AI, menggunakan kamera untuk mengenal pasti sisa seperti kertas, plastik dan tin sebelum tong yang bersesuaian dibuka secara automatik. Lebih daripada kemenangan ini, saya bangga melihat bagaimana para pelajar dapat mengaplikasikan apa yang dipelajari untuk menghasilkan penyelesaian praktikal kepada masalah sebenar di sekeliling mereka,” kata guru pembimbing, Hanson Teo Kim Guan, 28.
Salah satu pencapaian penting Petrosains Tech4All 2026 ialah kejayaan pelaksanaan model yang memberi tumpuan kepada pembangunan keupayaan pendidik menerusi Petrosains Tech4All Teachers’ Bootcamp, yang telah berlangsung dari 10 hingga 12 Julai 2026 di Kuala Lumpur tempoh hari. Program tersebut menghimpunkan 56 guru daripada 28 sekolah rendah di seluruh Malaysia, dengan membekalkan mereka pengetahuan, kemahiran dan keyakinan untuk melaksanakan pembelajaran STEM, robotik dan AI yang lebih berkesan bagi murid Orang Asli dan Peribumi di komuniti masing-masing.
Sebagai cabang impak sosial PETRONAS dalam bidang pendidikan, Petrosains percaya bahawa perubahan yang berkekalan bermula dengan guru yang diperkasa. Melalui pendekatan train-the-trainers, program ini memperkukuh keupayaan guru menerusi kerangka program 2026, modul pembelajaran diperkasa AI dan kaedah pembelajaran kolaboratif, sekali gus membolehkan mereka menjadi pemangkin perubahan di sekolah dan komuniti masing-masing.
Ilmu dan kemahiran yang diperoleh kemudiannya dikembangkan kepada murid di sekolah masing-masing, membolehkan impak Petrosains Tech4All melangkaui pertandingan semata-mata. Dengan memperkasa guru, Petrosains mewujudkan kesan berganda apabila ilmu terus disampaikan dan dimanfaatkan oleh lebih ramai murid, tanpa mengira lokasi mahupun latar belakang.
Pendekatan ini selari dengan komitmen PETRONAS menerusi inisiatif Memperkasa Pendidikan, yang memperluas peluang pembelajaran berorientasikan masa hadapan kepada komuniti yang kurang mendapat akses. Dengan membina keupayaan dan menyediakan sokongan kepada para pendidik, Petrosains Tech4All terus menyumbang kepada pembentukan ekosistem pendidikan STEM yang lebih inklusif, lestari dan berdaya saing bagi mempersiapkan generasi muda Malaysia menghadapi masa hadapan yang semakin dipacu inovasi dan AI.
“Di Petrosains, kami percaya bakat ada di mana-mana dan setiap kanak-kanak berhak diberi peluang untuk belajar, mencipta dan berinovasi, tanpa mengira latar belakang mereka. Melalui Petrosains Tech4All, kami bukan sahaja memperkenalkan murid kepada STEM, robotik dan kecerdasan buatan, malah turut memperkasa para pendidik yang memainkan peranan penting dalam membentuk generasi masa hadapan.
Dengan memberikan guru pengetahuan, kemahiran dan keyakinan untuk membimbing pembelajaran STEM dalam komuniti mereka sendiri, kami membina sebuah model impak yang mampan dan mampu menjangkaui lebih daripada satu program atau pertandingan. Berpandukan komitmen PETRONAS menerusi inisiatif Memperkasa Pendidikan, kami akan terus memperluas akses kepada pendidikan STEM berkualiti, membangunkan bakat masa hadapan serta memastikan lebih ramai murid Orang Asli dan Peribumi berpeluang mengambil bahagian secara bermakna dalam perjalanan transformasi digital dan inovasi Malaysia,” kata Ezarisma Azni Mohamad, Ketua Pegawai Eksekutif Petrosains.
Dr Rusmini Ku Ahmad, Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan (Sektor Dasar dan Kurikulum), Kementerian Pendidikan Malaysia, berkata:

“Apabila akses diperluas, bakat akan terserlah. Apabila guru diperkasa, ilmu berkembang. Petrosains Tech4All mencerminkan betapa pentingnya kerjasama dalam memastikan lebih ramai murid Orang Asli dan Peribumi mendapat peluang meneroka STEM, membina kemahiran masa hadapan serta menyumbang kepada kemajuan Malaysia dalam dunia yang semakin dipacu teknologi digital.”
Sejak diperkenalkan pada 2024, Petrosains Tech4All terus berkembang dari segi skala dan impak. Bermula sebagai sebuah projek rintis, program ini kini berkembang menjadi platform berskala nasional dan global yang memperluas akses kepada pendidikan STEM berkualiti, di samping mendukung aspirasi negara termasuk AI Nation 2030 dalam melahirkan generasi masa hadapan yang dilengkapi kemahiran digital, teknologi dan inovasi.
Pertandingan berakhir dengan pengumuman lima pasukan terbaik. Pasukan juara dari SMK Long Bedian (K11), Sarawak dengan projek mereka yang bertajuk S.O.R.T telah membawa pulang hadiah wang tunai RM3,500, sijil serta barangan eksklusif Petrosains. Naib juara dari SK Punan, Johor menerima RM2,500, manakala pemenang tempat ketiga dari SK Telanok, Pahang menerima RM2,000, berserta sijil dan barangan eksklusif Petrosains.



Sementara itu, pasukan yang menduduki tempat keempat dari SK Runchang, Pahang dan tempat kelima dari SK Padang, Sabah masing-masing menerima RM1,000, sijil serta barangan eksklusif Petrosains sebagai pengiktirafan terhadap usaha dan pencapaian mereka.
Kejayaan Petrosains Tech4All 2026 turut didukung oleh komitmen kukuh rakan strategik, dengan OPITO sebagai Penaja Utama dan Hibiscus Petroleum sebagai Penaja Platinum. Sokongan ini mencerminkan komitmen bersama dalam memperluas peluang pembelajaran STEM kepada murid Orang Asli dan Peribumi di seluruh Malaysia.
Menerusi inisiatif seperti Tech4All, Petrosains terus memainkan peranannya sebagai pemangkin pembelajaran dan penerokaan, di samping menyumbang kepada agenda pembangunan negara yang lebih luas oleh PETRONAS. Program ini mencerminkan komitmen PETRONAS menerusi inisiatif Memperkasa Pendidikan dalam menyediakan akses yang lebih saksama kepada pembelajaran STEM, AI dan digital, khususnya bagi komuniti yang kurang mendapat akses serta kurang cakna dalam bidang sains dan teknologi.
Lebih penting, Petrosains Tech4All membuktikan apa yang mampu dicapai apabila pendidikan, industri dan komuniti bergerak bersama dengan matlamat yang sama. Dengan memperkasa guru, membimbing inovator muda dan memperluas akses kepada pembelajaran STEM, inisiatif ini membantu membina bakat masa hadapan yang berupaya mendepani cabaran menerusi inovasi, teknologi dan penyelesaian masalah yang bertanggungjawab.
Walaupun Petrosains Tech4All 2026 melabuhkan tirainya, impaknya terus berkembang menerusi guru, murid dan komuniti yang telah diperkasa. Lebih daripada sebuah pertandingan, Petrosains Tech4All membawa satu aspirasi yang lebih besar: memastikan setiap anak, tanpa mengira lokasi atau latar belakang, mempunyai peluang untuk menjadi sebahagian daripada perjalanan transformasi digital Malaysia serta bersama-sama membina masa hadapan negara yang lebih inovatif, inklusif dan lestari.
