Baru-baru ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah membentangkan Belanjawan 2027 pada Jumaat.
Selain bantuan dan program-program yang terus diperkasa, antara perkara yang mencuri perhatian dalam pembentangan itu termasuklah kasut sukan yang disenaraikan dalam pelepasan cukai.
Susulan itu, pengumuman ini mungkin membuatkan ramai tertanya-tanya. Betulkah harga kasut yang dibeli akan ditolak sepenuhnya daripada cukai perlu dibayar?
Seorang lelaki yang dikenali sebagai Leong Sabahan menerusi akaun TikTok @leong.sabahan berkongsi penjelasan ringkas tentang cara pelepasan cukai berfungsi.
Menurutnya, pelepasan cukai bukan bermaksud pembeli akan mendapat semula keseluruhan harga barang yang dibeli atau kasut itu menjadi percuma.
Kasut Sukan Termasuk Pelepasan Cukai

Sebagai contoh, jika seseorang memperoleh pendapatan tahunan sebanyak RM60,000 dan membeli kasut berharga RM500 yang layak dituntut, jumlah itu akan ditolak daripada pendapatan bercukai.
Ini bermakna pendapatan yang digunakan untuk pengiraan cukai menjadi RM59,500, bukannya jumlah cukai yang perlu dibayar terus ditolak sebanyak RM500.
Dalam contoh yang dikongsikannya, cukai yang perlu dibayar turun daripada kira-kira RM2,600 kepada RM2,545. Jadi, penjimatan cukai daripada pembelian kasut itu ialah sekitar RM55.
Leong turut menjelaskan bahawa jumlah penjimatan bergantung pada kadar cukai seseorang.
Mereka yang berada dalam kadar cukai lebih tinggi mungkin mendapat penjimatan lebih besar berbanding individu yang kadar cukainya lebih rendah.
Jangan beli barang semata-mata mahu tuntut cukai
Pada masa sama, beliau mengingatkan orang ramai supaya tidak membeli kasut atau barangan lain yang tidak diperlukan hanya kerana mahu menuntut pelepasan cukai.
Katanya, langkah itu bertujuan membantu orang ramai mengurangkan cukai serta menggalakkan aktiviti seperti berlari, bukannya mendorong mereka berbelanja lebih.
“Lagi banyak kita belanja, bukan bermaksud lagi banyak kita jimat,” katanya.
Beliau turut menyebut bahawa prinsip sama terpakai kepada pelepasan cukai lain. Sebelum membuat pembelian, orang ramai digalakkan memahami syarat tuntutan dan mengira jumlah penjimatan sebenar supaya perbelanjaan dapat diurus dengan lebih bijak.
