SHAH ALAM, 25 Ogos (Bernama) -- Kementerian Belia dan Sukan (KBS) berhasrat “melamar” sukarelawan Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 untuk turut berkhidmat sebagai sukarelawan pada Sukan SEA yang akan datang.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana SUKMA ke-22 dan Para SUKMA Mohd Najwan Halimi berkata perkara itu disampaikan Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari kepada beliau dalam perbincangan ringkas selepas majlis penutupan SUKMA, malam tadi.
Susulan itu, Mohd Najwan yang juga Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor berkata pihak sekretariat SUKMA bersama-sama kerajaan negeri akan mengadakan perbincangan lanjut bagi menyelaraskan penglibatan sukarelawan berkenaan mengikut keperluan dan kapasiti Sukan SEA.
“Sukan SEA ini ialah sukan peringkat Asia Tenggara, mungkin ada beberapa keperluan yang melibatkan venue ataupun tempat penganjuran acara di negeri Selangor, jadi di situ kita boleh mengadaptasikan sukarelawan kita untuk mereka turut terlibat.
“Daripada keseluruhan lebih 10,000 sukarelawan yang berkhidmat pada SUKMA ini, insya-Allah kita akan buat pemilihan, cuma nanti pada peringkat sekretariat kita akan selaraskan dulu bersama dengan pihak Jabatan Belia dan Sukan Negeri Selangor,” katanya kepada pemberita selepas majlis penutupan SUKMA ke-22 yang disempurnakan oleh Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Yang turut hadir, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari.
Malaysia akan menganjurkan Sukan SEA 2027 dari 18 hingga 29 Sept yang melibatkan empat negeri, iaitu Sarawak, Pulau Pinang, Johor dan Kuala Lumpur, dengan 38 jenis sukan dipertandingkan.
Mohd Najwan berkata hasrat KBS itu merupakan satu bentuk pengiktirafan terhadap khidmat bakti serta komitmen sukarelawan yang membantu memastikan kelancaran penganjuran SUKMA ke-22.
Dalam perkembangan berkaitan, Mohd Najwan berkata pencapaian kontinjen Selangor yang meraih 101 pingat emas pada SUKMA ke-22 menjadi penanda aras baharu yang tinggi bagi negeri itu untuk dipertahankan pada edisi akan datang.
Beliau berkata pihak Majlis Sukan Negeri Selangor (MSNS) pada peringkat awal menyasarkan 80 pingat emas, namun prestasi luar biasa atlet membolehkan sasaran itu dilepasi dengan tambahan 21 emas.
“Jumlah 101 pingat emas bukanlah sesuatu yang biasa sebenarnya. Daripada peringkat awal kita sasarkan 80 emas … tetapi, alhamdulillah selepas cecah 80, kita pun tidak sangka atlet-atlet kita menunjukkan prestasi yang luar biasa sehingga boleh melepasi 21 pingat lagi, jadi 101 ialah angka yang bagus,” katanya.
Mohd Najwan berkata usaha mempertahankan kejuaraan keseluruhan itu akan dimulakan sebaik sahaja SUKMA ke-22 berakhir, dengan MSNS memberikan tumpuan terlebih dahulu kepada persiapan atlet Selangor menghadapi Para SUKMA yang akan berlangsung dari 5 hingga 10 Sept ini.
Beliau berkata kemudahan yang digunakan sepanjang penganjuran SUKMA ke-22 akan dibuka kepada atlet para untuk menjalani latihan sebagai persediaan menghadapi temasya berkenaan.

