Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

KBS Pastikan Semua Pihak Setuju Sebelum Warta Had Umur Belia

Gambar: Bernama

KOTA BHARU, 21 Ogos (Bernama) — Kementerian Belia dan Sukan akan memastikan semua pihak yang bakal terbabit dengan penurunan had umur belia kepada 30 tahun bersetuju sebelum ia diwartakan.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata ketika ini pewartaan akta itu masih ditangguhkan bagi memberi peluang kepada persatuan-persatuan terbabit mengadakan pemilihan.

“Saya telah berjanji dengan pihak Majlis Belia Malaysia untuk menangguhkan pewartaan itu. Ini untuk membolehkan persatuan-persatuan yang masih belum (mengadakan pemilihan) dan bersedia untuk mengehadkan umur mengadakan pemilihan meneruskannya pada tahun ini.

“Saya percaya pada penghujung tahun ini saya perlu kembali berjumpa Majlis Belia Malaysia (untuk) pastikan semua pihak bersetuju tentang perkara ini dan kita akan tetap mewartakan perkara yang telah diputuskan oleh Parlimen itu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Sesi Townhall Bersama Komuniti Belia dan Sukan Kelantan di sini hari ini.

Pada 3 Julai 2019, Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia (Pindaan) 2019, yang bertujuan antaranya menurunkan had umur dalam takrif belia daripada 40 kepada 30 tahun.

Sumber: BERNAMA