Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengarahkan siasatan menyeluruh, telus dan segera dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar tragedi renjatan elektrik yang mengorbankan tiga anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) ketika menjalankan tugas di Beaufort, Sabah, semalam.
Menurut beliau, sebarang kelemahan yang dikenal pasti menerusi siasatan itu perlu ditangani segera bagi memastikan insiden seumpama itu tidak berulang pada masa hadapan.
“Saya telah mengarahkan agar siasatan dijalankan secara menyeluruh, telus dan segera bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian yang meragut nyawa tiga anggota PDRM.
“Sebarang kelemahan yang dikenal pasti perlu ditangani dengan segera, manakala langkah penambahbaikan akan dilaksanakan bagi memastikan insiden seumpama ini tidak berulang,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook, hari ini.
Dalam pada itu, Saifuddin turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Korporal Mohamad Nur Hafiz Ibrahim, mendiang Korporal Chiu Teck Siong dan Allahyarham Konstabel Muhammad Raimi Ismarubee.
Beliau berkata, ketiga-tiga anggota berkenaan telah mencurahkan khidmat bakti kepada agama, bangsa dan negara, manakala pemergian mereka merupakan satu kehilangan besar kepada Polis Diraja Malaysia dan warga Kementerian Dalam Negeri (KDN).
“Semoga seluruh ahli keluarga diberikan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi ujian yang amat berat ini,” ujarnya.
Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan