Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Mufti WP Perjelas Status Pelunasan Zakat Simpanan Pendeposit Tabung Haji

Status pelunasan zakat simpanan pendeposit
Kredit: Bernama

Mufti WP Perjelas Status Pelunasan Zakat Simpanan Pendeposit Tabung Haji

Zakat merupakan salah satu kewajipan dalam Islam yang bertujuan menyucikan harta serta membantu golongan yang memerlukan.

Namun, persoalan mengenai status pelunasan zakat simpanan di Lembaga Tabung Haji (TH) sering menjadi perhatian masyarakat, khususnya sama ada pendeposit masih perlu membayar zakat selepas TH melunaskan zakat bagi pihak mereka.

Bagi menjelaskan kekeliruan tersebut, Mufti Wilayah Persekutuan (Mufti WP) tampil memberikan penerangan mengenai kedudukan zakat simpanan Tabung Haji berdasarkan prinsip syarak, konsep wakalah serta keputusan badan berautoriti dalam hal ehwal Islam.

Mufti WP Perjelas Status Pelunasan Zakat Simpanan Pendeposit Tabung Haji

Pendahuluan

Mutakhir ini, Lembaga Tabung Haji (TH) telah mengeluarkan satu kenyataan media bagi menjelaskan status pelunasan zakat ke atas simpanan para pendeposit. Kenyataan tersebut dibuat bagi menjawab pelbagai persoalan yang timbul dalam kalangan masyarakat berhubung kesahihan pembayaran zakat yang dilaksanakan oleh TH, khususnya sama ada pendeposit masih diwajibkan mengeluarkan zakat ke atas simpanan yang sama selepas TH melunaskan zakat bagi pihak mereka.

Penjelasan ini amat penting kerana zakat merupakan salah satu rukun Islam yang mempunyai syarat serta kaedah pelaksanaan tertentu. Kekeliruan mengenai status zakat simpanan di Tabung Haji boleh menimbulkan keraguan dalam kalangan pendeposit, khususnya sama ada mereka masih diwajibkan mengeluarkan zakat ke atas simpanan yang telah dizakatkan oleh Tabung Haji. Justeru, isu ini perlu difahami berdasarkan prinsip-prinsip fiqh zakat, konsep wakalah serta keputusan pihak-pihak berautoriti dalam hal ehwal syariah.

Sehubungan dengan itu, artikel ini akan menjelaskan asas-asas hukum yang menyokong keabsahan pelunasan zakat oleh Tabung Haji bagi pihak pendeposit serta menghuraikan mengapa pendeposit tidak lagi dituntut untuk mengeluarkan zakat ke atas simpanan yang telah dizakatkan oleh TH menurut ketetapan syarak.

Hukum Asal Kewajipan Zakat dan Konsep Wakalah

Zakat merupakan kewajipan yang dikenakan ke atas pemilik harta yang memenuhi syarat-syarat tertentu sebagaimana firman Allah SWT:

خُذْ مِنْ أَمْوَالِهِمْ صَدَقَةً تُطَهِّرُهُمْ وَتُزَكِّيهِم بِهَا

Maksudnya: "Ambillah daripada harta mereka zakat yang dapat membersihkan dan menyucikan mereka dengannya."

(Surah al-Taubah: 103)

Pada asalnya, kewajipan menunaikan zakat dipikul oleh pemilik harta. Walau bagaimanapun, syarak membenarkan pelaksanaan ibadah tersebut dilakukan melalui wakil. Dalam mazhab al-Syafi‘i, seseorang boleh mewakilkan pihak lain untuk mengeluarkan zakat bagi pihaknya, sama ada individu mahupun institusi yang diberikan kuasa. Syeikh Zakaria al-Ansari menjelaskan:

الْوَكَالَةُ لِكَوْنِهَا إنَابَةً إنَّمَا تَصِحُّ فِي قَابِلِ النِّيَابَةِ كَالْحَجِّ، وَالْعُمْرَةِ وَتَوَابِعِهَا، وَالصَّوْمِ عَنْ الْمَيِّتِ عَلَى الْقَدِيمِ الْمُخْتَارِ وَذَبْحِ الْأُضْحِيَّةِ، وَالْهَدْيِ، وَالْعَقِيقَةِ وَتَفْرِقَةِ الزَّكَاةِ، وَالْكَفَّارَةِ، وَالصَّدَقَةِ وَنَحْوِهَا

Maksudnya: “Wakalah memandangkan ia merupakan satu bentuk penggantian maka ia hanya sah pada perkara-perkara yang boleh menerima penggantian. Contohnya seperti haji, umrah dan perkara-perkara yang mengikutinya, berpuasa bagi pihak si mati berdasarkan pendapat qadim yang terpilih, menyembelih haiwan korban, hadyu, aqiqah, pengagihan zakat, kafarah, sedekah dan seumpamanya.”[1]

Berdasarkan pandangan tersebut, para fuqaha menjelaskan bahawa pengagihan zakat termasuk dalam perkara yang menerima wakalah. Oleh itu, seseorang boleh melantik individu atau institusi yang dipercayai bagi menunaikan zakat untuk pihaknya.

Justeru, apabila sesuatu institusi diberi mandat untuk melaksanakan pembayaran zakat bagi pihak pemilik harta, pembayaran tersebut dikira sebagai pembayaran pemilik harta itu sendiri dan kewajipan zakat dianggap telah tertunai.

Pelaksanaan Zakat oleh Tabung Haji Menurut Ketetapan Fatwa

Pelaksanaan zakat oleh Lembaga Tabung Haji bukanlah suatu amalan yang baharu, bahkan telah mempunyai asas yang jelas melalui keputusan pihak berautoriti dalam hal ehwal Islam. Persidangan Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (kini dikenali sebagai Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia) Kali Ke-17 yang bersidang pada 3 Mei 1979 telah membincangkan isu Pembayaran Zakat Oleh Tabung Haji. Persidangan tersebut telah memutuskan:

  1. Lembaga Urusan dan Tabung Haji adalah diwajibkan membayar zakat bagi pihak penyimpan-penyimpan daripada wang simpanan mereka, hasil pelaburan, harta yang diperniagakan serta segala keuntungan daripadanya.

  2. Setelah dikeluarkan zakat oleh Lembaga Urusan dan Tabung Haji bagi pihak penyimpan-penyimpan itu, maka barulah keuntungan bersih dibahagikan antara penyimpan dengan Lembaga Urusan dan Tabung Haji menurut kadar yang telah ditentukan.

  3. Lembaga Urusan dan Tabung Haji sendiri tidak diwajibkan mengeluarkan zakat daripada harta yang diperoleh melalui pembahagian keuntungan tersebut.

  4. Zakat hendaklah dibayar kepada Majlis Agama Islam Negeri mengikut kadar simpanan penyimpan-penyimpan di negeri masing-masing.[2]

Keputusan tersebut memperlihatkan bahawa sejak tahun 1979 lagi, Jawatankuasa Muzakarah MKI telah mengiktiraf bahawa kewajipan zakat ke atas dana yang diuruskan oleh Tabung Haji pada hakikatnya ialah kewajipan para pendeposit. Dalam hal ini, Tabung Haji berperanan sebagai pihak yang melaksanakan pembayaran zakat bagi pihak pendeposit, bukannya membayar zakat bagi pihak institusi itu sendiri.

Di samping itu, keputusan tersebut turut menjelaskan bahawa keuntungan hanya boleh diagihkan kepada pendeposit setelah zakat dilunaskan. Hal ini menunjukkan bahawa keuntungan yang diterima oleh pendeposit merupakan keuntungan bersih yang telah disucikan melalui pelaksanaan kewajipan zakat. Oleh yang demikian, zakat ke atas dana tersebut telah pun ditunaikan sebelum keuntungan diagihkan kepada para pendeposit.

Keputusan Muzakarah MKI ini juga menjadi asas kepada pelaksanaan zakat oleh Tabung Haji sehingga hari ini. Ia menjelaskan bahawa zakat yang dibayar oleh Tabung Haji bukanlah zakat ke atas institusi Tabung Haji sebagai sebuah entiti, sebaliknya merupakan pelunasan kewajipan zakat milik para pendeposit yang dilaksanakan melalui mekanisme yang dibenarkan oleh syarak.

Perkembangan Pelaksanaan Zakat oleh Tabung Haji

Kenyataan media Tabung Haji turut menjelaskan bahawa kaedah pelaksanaan zakat telah melalui beberapa perkembangan selaras dengan perubahan kontrak Syariah yang digunapakai dalam pengurusan dana pendeposit.

Semasa penggunaan kontrak Wadiah Yad Dhamanah, khususnya bagi tempoh 2016 hingga 2019, zakat dilaksanakan berdasarkan konsep zakat perniagaan secara khultah terhadap keseluruhan dana pendeposit yang dihimpunkan dan diuruskan oleh Tabung Haji.

Konsep khultah merujuk kepada penghimpunan harta beberapa pemilik yang diuruskan secara bersama sehingga pengiraan zakat dibuat ke atas keseluruhan harta tersebut mengikut kaedah yang ditetapkan oleh syarak. Dalam konteks Tabung Haji, dana yang dihimpunkan daripada para pendeposit dilaburkan secara kolektif. Justeru, zakat dikira dan dilunaskan ke atas keseluruhan dana tersebut bagi pihak pemilik-pemiliknya. Pelaksanaan ini selaras dengan keputusan Muzakarah MKI tahun 1979 yang meletakkan tanggungjawab kepada Tabung Haji untuk melunaskan zakat bagi pihak pendeposit sebelum keuntungan diagihkan kepada mereka.

Selepas pengenalan konsep wakalah pada tahun 2019, penerapan konsep Syariah tersebut telah memperkukuh dan menyelaraskan aspek operasi TH dan keperluan Syariah termasuk pembayaran zakat dengan lebih jelas. Meskipun berlaku perubahan konsep Syariah, prinsip asasnya tetap tidak berubah, iaitu Tabung Haji melaksanakan pembayaran zakat bagi pihak pendeposit dan bukannya bagi pihak institusi Tabung Haji sendiri.

Bagi mengelakkan sebarang keraguan terhadap pelaksanaan terdahulu, Jawatankuasa Penasihat Syariah Tabung Haji dalam mesyuaratnya pada 2 September 2020 telah memutuskan bahawa pembayaran zakat yang dilaksanakan bagi pihak pendeposit sebelum pengenalan konsep wakalah pada tahun 2019 adalah sah dan mematuhi hukum syarak. Keputusan ini memperkukuhkan bahawa perubahan konsep Syariah kepada wakalah tidak menjejaskan keabsahan pembayaran zakat yang telah dilaksanakan sebelum ini, sebaliknya menunjukkan kesinambungan pelaksanaan zakat yang sentiasa dipandu oleh prinsip-prinsip syariah dan dipantau oleh badan penasihat syariah yang berkelayakan.

Kesimpulan

Berdasarkan perbincangan di atas, jelas bahawa pelaksanaan zakat oleh Lembaga Tabung Haji bagi pihak pendeposit mempunyai asas yang kukuh menurut hukum syarak. Keharusan mewakilkan pembayaran zakat diiktiraf oleh para fuqaha dan pelaksanaannya oleh Tabung Haji adalah selaras dengan keputusan Persidangan Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia pada tahun 1979 serta diperkukuhkan oleh Jawatankuasa Penasihat Syariah Tabung Haji.

Sehubungan dengan itu, zakat yang dilunaskan oleh Tabung Haji merupakan pelunasan kewajipan zakat pendeposit itu sendiri. Oleh yang demikian, pendeposit tidak lagi dituntut mengeluarkan zakat ke atas simpanan yang sama kerana kewajipan tersebut telah disempurnakan melalui wakil yang diberi kuasa menurut hukum syarak.

Justeru, kenyataan media yang dikeluarkan oleh Lembaga Tabung Haji berhubung status pelunasan zakat simpanan pendeposit adalah selaras dengan prinsip fiqh zakat, keputusan pihak berautoriti serta tadbir urus syariah yang diamalkan oleh Tabung Haji. Penjelasan ini diharapkan dapat memberikan kefahaman yang lebih jelas kepada masyarakat mengenai status zakat simpanan pendeposit di Tabung Haji.

WaAllahu a’lam.

Intipati
  • Mufti WP menjelaskan zakat simpanan Tabung Haji boleh dilunaskan melalui konsep wakalah.
  • Keputusan fatwa 1979 menetapkan TH membayar zakat bagi pihak pendeposit sebelum agihan keuntungan.
  • Pendeposit tidak perlu membayar zakat semula ke atas simpanan yang sama.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan