Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Kebakaran Hutan Hampiri Bordeaux, Lebih 300,000 Penduduk Dipindahkan Di Perancis

BORDEAUX
Tangkap layar video kebakaran.

Kebakaran Hutan Hampiri Bordeaux, Lebih 300,000 Penduduk Dipindahkan Di Perancis

Kebakaran hutan yang semakin marak di barat daya Perancis kini menghampiri bandar bersejarah Bordeaux, sekali gus memaksa ratusan ribu penduduk di Perancis dan Sepanyol dipindahkan ketika pihak berkuasa bertungkus-lumus mengawal api, lapor France24.

Menurut laporan itu, kira-kira 220,000 penduduk dipindahkan di Perancis, manakala lebih 75,000 penduduk di Sepanyol diarahkan berpindah dan sekitar 30,000 lagi diminta berlindung di kediaman masing-masing.

Di Perancis, kebakaran memusnahkan kawasan Semenanjung Cap Ferret di pesisir Atlantik yang terkenal sebagai destinasi pelancongan sebelum merebak ke kawasan sekitar Bordeaux.

Datuk Bandar Bordeaux, Thomas Cazenave, berkata kebakaran kini berada kira-kira 15 kilometer dari pintu masuk utama bandar berkenaan.

Sementara itu, Menteri Dalam Negeri Perancis, Laurent Nuñez, berkata kebakaran masih belum dapat dikawal dan sedang bergerak menghampiri kawasan bandar.

“Kami berdepan kebakaran yang masih tidak terkawal dan sedang bergerak ke arah kawasan bandar.

“Keadaan keseluruhannya amat tidak menggalakkan. Ini merupakan situasi yang belum pernah berlaku sebelum ini,” katanya.

Menurut Cazenave, setakat ini tiada arahan pemindahan dikeluarkan terhadap penduduk Bordeaux yang mempunyai populasi sekitar 850,000 orang, namun pihak berkuasa akan terus memantau perkembangan semasa.

Sebagai langkah berjaga-jaga, polis dilaporkan menjalankan operasi dari rumah ke rumah di kawasan Marcheprime dan Cestas bagi memindahkan penduduk secara berperingkat.

Di Sepanyol pula, Perdana Menteri Pedro Sanchez melawat kawasan terjejas di wilayah Avila, yang kini merekodkan kebakaran hutan terbesar dalam sejarah moden negara itu.

Menurut Menteri Alam Sekitar Sepanyol, Sara Aagesen, lebih 50,000 hektar kawasan di Avila musnah dijilat api.

Dalam perkembangan sama, satu lagi kebakaran di wilayah Castellon memusnahkan lebih 4,300 hektar kawasan, termasuk sebahagian Taman Semula Jadi Sierra de Espadan yang dipenuhi hutan pain dan pokok oak gabus.

Ketua Wilayah Valencia, Juanfran Perez, berkata keadaan cuaca yang tidak menentu menyukarkan usaha memadam kebakaran.

“Kebakaran ini di luar kawalan dan amat sukar dipadamkan, terutama disebabkan keadaan cuaca buruk yang dijangka berterusan sepanjang hari,” ujarnya.

Menurut laporan itu, gelombang kebakaran yang melanda beberapa negara Eropah dikaitkan dengan kemarau berpanjangan dan siri gelombang haba yang semakin ekstrem, yang menurut saintis dipengaruhi perubahan iklim.

Kesatuan Eropah (EU) turut menggerakkan bantuan antarabangsa apabila Greece dan Itali masing-masing menghantar dua pesawat pemadam kebakaran jenis Canadair ke Sepanyol, manakala Portugal mengerahkan lebih 100 anggota tentera bersama peralatan sokongan.

Selain Perancis dan Sepanyol, kebakaran hutan turut dilaporkan berlaku di Scotland dan Itali, menyebabkan pemindahan penduduk, penutupan jalan raya serta gangguan perkhidmatan kereta api di beberapa kawasan.

Dalam pada itu, Pope Leo turut menzahirkan solidariti kepada mangsa kebakaran dan mengajak orang ramai mendoakan keselamatan mereka serta petugas yang terlibat dalam operasi menyelamat.

Intipati
  • Kebakaran hutan di barat daya Perancis kini dilaporkan menghampiri bandar bersejarah Bordeaux.
  • Kira-kira 220,000 penduduk dipindahkan di Perancis, manakala lebih 75,000 diarahkan berpindah di Sepanyol.
  • EU menggerakkan bantuan antarabangsa, termasuk pesawat pemadam kebakaran dari Greece dan Itali ke Sepanyol.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan