Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Kebakaran Plot Penyelidikan FRIM Bidor Dipadam Sepenuhnya

FRIM
Kredit: Facebook Bomba Perak

Kebakaran hutan yang melibatkan plot penyelidikan di Stesen Penyelidikan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) (SPF) Bidor berjaya dipadamkan sepenuhnya kira-kira 2.30 petang semalam.

FRIM memaklumkan kejayaan itu hasil tindakan pantas dan kerjasama bersepadu pelbagai agensi berkaitan.

Menurut FRIM, pemantauan lanjut di sepanjang perimeter kawasan terjejas diteruskan sehingga 5.30 petang sebelum Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menamatkan operasi secara rasmi pada 5.50 petang hari sama.

“Ketua Pengarah FRIM, Datuk Dr Ismail Parlan bersama-sama Pengarah Bahagian Bioteknologi Perhutanan FRIM, Dr Nor Hasnida Hassan dan Ketua Program Ladang Hutan, Dr Rosdi Koter telah ke lokasi kejadian, pagi semalam.

“Mereka diberikan taklimat daripada pihak JBPM serta menjalankan pemeriksaan secara langsung terhadap plot penyelidikan terjejas,” menurut FRIM dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Penolong Pengarah Operasi JBPM Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, kebakaran membabitkan kawasan seluas 2.42 hektar itu bermula pada Isnin dan dilaporkan kepada pihaknya kira-kira 5.42 petang.

Menurut FRIM, api mula dikesan petugas SPF Bidor ketika rondaan rutin pada 4.56 petang Isnin, 7 September, sebelum pasukan bomba dan polis tiba di lokasi kira-kira 5.50 petang.

Kebakaran kemudian merebak ke kawasan bersebelahan pada 8.50 malam sebelum berjaya dikawal pada 10.50 malam.

Usaha pembendungan dan pemantauan diteruskan sehingga tengah malam bagi memastikan tiada kebakaran semula berlaku.

Dalam pada itu, FRIM berkata operasi pemadaman disambung semula pada 9 pagi semalam dengan menggunakan jentera pengorek bagi menggali parit sekatan api sedalam satu meter di sepanjang perimeter kawasan terjejas.

Operasi itu turut mendapat kerjasama pelbagai agensi serta Jabatan Perhutanan Negeri Perak yang menjalankan pemantauan tambahan menggunakan dron.

FRIM berkata, penilaian terhadap kesan kebakaran pada plot penyelidikan terjejas akan dilaksanakan selaras dengan objektif penyelidikan, pengurusan hutan dan pemuliharaan agensi berkenaan.

Sumber:FRIM
Intipati
  • Kebakaran plot penyelidikan FRIM Bidor dipadam sepenuhnya kira-kira 2.30 petang semalam.
  • JBPM menamatkan operasi secara rasmi pada 5.50 petang selepas pemantauan perimeter kawasan terjejas.
  • FRIM akan menilai kesan kebakaran terhadap plot penyelidikan bagi tujuan pengurusan dan pemuliharaan.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan