Kecoh, Babi Hutan Rempuh Pelancong Main Papan Salji
Suasana sunyi bertukar kecoh apabila seekor babi hutan dilaporkan merempuh dua pelancong yang sedang bermain papan salji sebelum melarikan diri di Pusat Peranginan Salji Alpen Blick di Jepun pada Selasa.
Seperti Mirror UK laporkan, seorang pemain dilihat berhenti di satu bahagian bawah cerun.
Beberapa minit kemudian, seekor babi hutan kelihatan berlari ke bawah dan merempuh pemain tersebut.
Mangsa kemudiannya jatuh ke tanah dan menggunakan papan untuk melindungi diri dengan memukulnya di kepala.
Manakala, pemain yang lain terkejut dengan situasi itu dan melarikan diri ke tempat yang selamat.
Dalam rakaman yang lain, babi hutan itu juga mengambil peluang untuk merempuh mangsa yang kedua dari sudut yang berbeza.
Babi itu kemudiannya melarikan diri apabila siren kereta salji dibunyikan oleh kakitangan.
Kewujudan babi hutan tidak jelas
Difahamkan tidak jelas dari mana kedatangan babi hutan itu dan ke mana arah tujuannya semasa dia meninggalkan kawasan itu.
Pengurus resort Hazawa Kazuhiko berkata dia tidak pernah melihat insiden sedemikian berlaku sebelum ini.
Dia turut memaklumkan bahawa pusat peranginan itu akan meningkatkan rondaan dan mengambil langkah-langkah berjaga yang lain.
Memetik NHK, polis berkata haiwan itu panjangnya kira-kira satu meter dan kelihatan berada di situ secara keseorangan.
BACA: Lelaki Ramal Gempa Bumi Kuat Bakal Landa Turkiye 3 Hari Sebelum Tragedi Benar-benar Berlaku
Kes babi hutan rempuh pelancong
Musim panas lalu, seorang wanita dilaporkan cedera selepas diserang oleh babi hutan ketika berjemur di pantai Costa Blanca.
Detik dramatik itu berlaku selepas haiwan yang hilang arah itu bergegas keluar dari laut ketika penyelamat membunyikan penggera dan bertindak melakukan serangan ke atas wanita itu.
Pakar perubatan yang merawatnya di pusat kesihatan memberitahu bahawa kecederaan yang dialami oleh wanita itu kemungkinan berpunca apabila haiwan itu menyerangnya.
Kecederaan kecil kakinya telah dibersihkan sebagai langkah berjaga-jaga dan ia dipercayai telah diberitahu untuk mengambil antibiotik untuk mengelakkan sebarang jangkitan.
Haiwan itu telah dikesan di dalam air oleh kru bot yang memaklumkan penyelamat di pantai selepas gagal untuk menangkapnya.
Sumber: Mirror UK
