Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Kehidupan 13 Tahun Di Pondok Usang Che Hat Berakhir

Foto: Mohd Ezwandi (Penerangan Negeri Perak)

LARUT, 18 Jun – Tukang kayu, Che Hat Jusoh, 55, kini boleh tersenyum lega kerana dia akan meninggalkan pondok usang yang didirikannya sendiri 13 tahun lepas di Kampung Tanjung Lengkong, Bukit Bertam dekat Selama di sini, untuk masuk ke kediaman baharu, dengan sewa bulanan dibiayai oleh Baitulmal dan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (Maipk), tidak lama lagi.

Katanya beliau membina sendiri pondok itu menggunakan kayu dengan dinding dan atap plastik, di atas tanah milik bapa saudaranya, kerana enggan menyusahkan orang lain, dan dengan bertemankan lampu minyak tanah, tikar sebagai alas tidur, Che Hat yang belum berkahwin berkata upah membuat rumah sekadar RM50 sehari tidak mengizinkannya membina rumah lebih selesa.

“Saya mahu meminta bantuan, tetapi tidak ada kad pengenalan, hilang sejak 20 tahun lepas akibat banjir di Malau, Kedah, sukar nak mohon bantuan,” katanya ketika ditemui selepas menerima kunjungan Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam dan Penerangan Perak Mohd Akmal Abdullah bersama beberapa agensi kerajaan termasuk Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Baitulmal, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Maipk di sini, semalam.

Mohd Akmal berkata, Che Hat akan dipindahkan ke rumah baharu berhampiran kampung itu mulai hari ini, dan tukang kayu itu juga akan memperolehi kad pengenalan gantian hasil bantuan daripada pegawai JPN.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selama itu seterusnya meminta pemimpin masyarakat dan komuniti setempat supaya melaporkan sebarang masalah yang dihadapi penduduk di kawasan masing-masing dengan segera bagi membolehkan masalah itu ditangani dengan pantas.

Sumber: Bernama, Penerangan Perak