Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Kejayaan Siaran FIFA 2026, RTM Bakal Umum Penyiaran Acara Sukan Berprestij Lain
KUALA LUMPUR, 20 Julai (Bernama) -- Radio Televisyen Malaysia (RTM) akan mengumumkan beberapa lagi hak penyiaran acara sukan bertaraf dunia lain susulan kejayaan menyiarkan keseluruhan kejohanan Piala Dunia FIFA 2026 secara percuma.
Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata Ketua Pengarah Penyiaran Ashwad Ismail telah memaklumkan bahawa beberapa lagi pertandingan bakal disiarkan menerusi RTM dan pengumuman mengenainya akan dibuat pada masa sesuai.
“Ketua Pengarah ada memaklumkan ada beberapa pertandingan yang akan kita siarkan di RTM. Itu nanti akan diumumkan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program Unity Merdeka x RTM World Cup 2026 di Dataran Merdeka, awal pagi ini.
Pada masa sama, Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan berkata Kementerian Komunikasi akan mendapatkan angka penuh tontonan bagi perlawanan akhir Piala Dunia FIFA 2026 sebelum membuat penilaian menyeluruh terhadap prestasi siaran kejohanan itu.
Beliau berkata walaupun terdapat beberapa isu teknikal pada peringkat awal siaran, masalah berkenaan telah dikenal pasti dan berjaya diatasi.
“Saya akan dapatkan angka penuh nanti, kita akan teliti untuk final. Ada beberapa isu teknikal pada awal yang telah dikenal pasti dan berjaya diatasi.
“…dan saya rasa ini peluang baik untuk kita lihat teknologi-teknologi baharu, termasuk yang kita boleh tonton TV dalam telefon pintar. Ini sangat baik untuk rakyat Malaysia, insya-Allah,” katanya.
Sementara itu, Ashwad berkata Jabatan Penyiaran Malaysia atau RTM akan terus memperkukuh kerjasama strategik dengan organisasi media tempatan bagi memastikan rakyat mendapat akses kepada kandungan berkualiti, termasuk siaran acara sukan utama.
Beliau berkata jabatan berkenaan mahu berperanan sebagai titik tumpu yang menyatukan pengamal media dalam menyediakan kandungan terbaik kepada rakyat dan bukannya melihat hak penyiaran sebagai satu bentuk persaingan.
“Ini bukan tentang hak eksklusif siapa dapat, siapa tak dapat, siapa menang atau siapa kalah. Dalam konteks sesuatu yang diperlukan rakyat Malaysia, Jabatan Penyiaran Malaysia melihat ini melangkaui pertembungan persaingan,” katanya.
Ashwad berkata pendekatan kerjasama itu tidak terhad kepada siaran Piala Dunia semata-mata, malah akan diperluas kepada acara lain pada masa hadapan demi manfaat penonton di negara ini.
Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan