Kelab Bola Sepak ‘Kantoi’ Letak Kertas Jampi Dalam Bilik Persalinan Pihak Lawan
Sebuah kelab bola sepak dari China dikenakan denda sebanyak 30,000 yuan (kira-kira RM17 ribu) selepas didapati meletakkan kertas jampi di bilik persalinan pasukan lawan.
Kelab Changchun Xidu FC yang beraksi dalam saingan China League Two didapati bersalah kerana didapati melakukannya sebelum perlawanan pada 28 Jun lalu.
Menurut kenyataan rasmi Liga Bola Sepak Profesional China (CFL), kelab tersebut telah menggunakan ‘objek tahyul feudal’ bertujuan meningkatkan peluang kemenangan mereka.
“Dengan perintah ini, Shanxi Chongde Ronghai mesti tewas,” tulis jampi dalam helaian kertas kuning yang tular di media sosial, seperti dilapor Oddity Central.
Gambar: Oddity CentralCFL dalam kenyataannya berkata, pihaknya telah menganalisis bukti yang ada sebelum membuat keputusan mendenda kelab berkenaan.
Liga itu juga menegaskan bahawa mereka akan menangani secara tegas dan serius semua bentuk pelanggaran peraturan dan etika mengikut Kod Tatatertib dan Etika yang ditetapkan.
Dalam perlawanan tersebut, Changchun Xidu FC berjaya menewaskan Shanxi Chongde Ronghai dengan keputusan 2-0. Ini sekali gus mengukuhkan kedudukan mereka di tempat kedua liga.
Namun, kemenangan itu tercemar dengan kontroversi penggunaan kertas jampi.
Lebih-lebih lagi selepas pendedahan bahawa insiden seumpama itu bukanlah yang pertama berlaku setiap kali pasukan lawan berkunjung ke stadium Xidu FC.
Insiden ini mencetuskan perdebatan hangat dalam kalangan peminat bola sepak China. Ramai yang menyifatkan penggunaan kepercayaan tahyul dalam sukan sebagai tidak beretika dan mencemarkan semangat kesukanan.
BACA: Himpunan Turun Anwar: Tiada Notis Sukarkan Gerak Kerja, Namun Polis Akan Permudahkan – Saifuddin
BACA: Polis Indonesia Tumpaskan Sindiket Seludup Bayi Antarabangsa, Selamatkan Enam Bayi
BACA: Polis Didakwa Bunuh Pelajar: Pembelaan Mohon Tempoh Kemuka Hujah Baharu Seksyen 300(d)
Sumber: Oddity Central