Berjuta-juta ikan ditemui terdampar dan mati di Sungai Silugonggo, Jawa Tengah, akibat kemarau yang melanda kawasan tersebut.
Memetik Metro TV News, sebahagian besar sungai itu kelihatan kering dan jutaan ikan, khususnya ikan bandaraya, ditemui mati dan terperangkap dalam lumpur serta lopak air.
Berjuta-Juta Ikan Ditemui Mati Di Sungai Silugonggo
Penduduk tempatan mengambil kesempatan dan mengutip ikan yang masih boleh dimakan, dengan sebahagiannya dibawa pulang untuk diproses sebagai makanan manakala selebihnya dikumpulkan untuk dijual kepada pengumpul.
Menurut penduduk tempatan, fenomena berkenaan hanya mula berlaku pada tahun ini.
“Ini kali pertama perkara seperti ini berlaku. Tahun sebelum ini tak pernah kering,” kata penduduk tempatan di Pati.
Keadaan Sungai Silugonggo juga menjadi petanda keadaan kemarau yang semakin serius di Pati selepas penduduk mendakwa sungai itu yang sebelum ini dipenuhi air kini mengalami penyusutan ketara.
Dalam pada itu, penduduk tempatan, Mutia berkata keadaan itu menimbulkan kebimbangan kerana beberapa kawasan lain di Pati turut mula terjejas dan memerlukan bantuan air bersih.
“Kasihan juga kepada penduduk tempatan, dan kami bimbang keadaan ini merebak ke kawasan lain kalau sungai terus kering, terutama sungai-sungai lain,” katanya.
Kebimbangan utama penduduk adalah kesan kemarau terhadap sektor pertanian kerana Pati mempunyai kawasan pertanian yang luas.
Susulan itu, penyusutan paras air sungai berpotensi menjejaskan bekalan air untuk keperluan pengairan.
Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik (BMKG) mengisytiharkan Pati bersama lebih 20 daerah lain di Jawa Tengah pada tahap amaran tertinggi bagi kemarau meteorologi untuk tempoh 10 hari pertama September.
Sementara itu, Badan Pengurusan Bencana Daerah (BPBD) Pati turut merekodkan sekurang-kurangnya 20 kampung di sembilan daerah terjejas akibat kemarau, manakala beberapa penduduk mula memohon agihan bekalan air bersih yang memenuhi keperluan harian.

