Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Gunung Berapi Meletus: Indonesia Tutup Lapan Lapangan Terbang, 170,000 Penumpang Terkandas

170,000 Penumpang Terkandas
Kredit: AFP

Kira-kira 170,000 penumpang terkandas selepas pihak berkuasa Indonesia menggantung operasi di lapan lapangan terbang susulan letusan gunung berapi.

Memetik BBC, Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta di Jakarta menjadi yang pertama ditutup selepas abu volkanik dari Gunung Anak Krakatau dikesan berhampiran lapangan terbang tersebut.

Penutupan itu kemudiannya diperluas ke tujuh lagi lapangan terbang lain atas faktor keselamatan penerbangan.

Kementerian Pengangkutan Indonesia memaklumkan sebanyak 1,558 penerbangan tertangguh dan lapangan terbang berkenaan kekal ditutup sehingga pukul 9 pagi waktu tempatan pada Isnin.

Gunung Anak Krakatau meletus pada malam Jumaat, menyebabkan aktiviti seismik berterusan, pancutan lava serta bunyi dentuman di kawasan sekitar.

170,000 Penumpang Terkandas Susulan Letusan Anak Krakatau

Kredit: AFP

Pihak berkuasa kemudian memaklumkan dua lagi letusan berlaku pada awal pagi Ahad.

Menteri Pengangkutan Indonesia, Dudy Purwagandhi berkata penangguhan operasi itu melibatkan penerbangan dari dan ke Singapura, selain beberapa laluan antarabangsa lain termasuk Doha, Sydney dan Kuala Lumpur.

Ujarnya lagi, keputusan untuk penutupan sementara beberapa lapangan terbang itu dibuat selepas ujian mendapati abu gunung berapi telah merebak ke aras Jawa Barat.

Dalam pada itu, beliau turut menggesa syarikat penerbangan untuk mempercepatkan proses bayaran balik tiket kepada penumpang terjejas akibat pembatalan penerbangan.

Syarikat penerbangan juga diminta untuk memberikan maklumat tepat kepada penumpang yang mempunyai penerbangan dalam masa terdekat bagi mengelakkan kesesakan di lapangan terbang.

Menurut agensi meteorologi Indonesia BMKG), abu gunung berapi mencapai ketinggian sehingga 20,000 kaki (6,000 meter) di Jawa, bahagian sebelah timur gunung berapi itu.

Sementara itu, abu di bahagian barat gunung berapi iaitu bahagian Sumatera dilaporkan mencapai sehingga 50,000 kaki (15,000 meter).

Bagaimanapun, pihak berkuasa mengesahkan tiada amaran tsunami dikeluarkan susulan aktiviti gunung berapi berkenaan yang terletak di Selat Sunda, antara pulau Jawa dan Sumatera.

Menteri Kesihatan turut menggesa penduduk di kawasan terjejas supaya terus berada di rumah dan memakai pelitup muka bagi melindungi diri daripada risiko terhadap sistem pernafasan, mata dan kulit.

Beberapa sekolah juga membatalkan aktiviti pada Sabtu selepas pelajar dan penduduk melaporkan mengalami iritasi mata akibat abu gunung berapi.

Sumber:BBC
Intipati
  • Kira-kira 170,000 penumpang terkandas selepas lapan lapangan terbang Indonesia ditutup sementara.
  • Sebanyak 1,558 penerbangan tertangguh, termasuk laluan ke Singapura, Doha, Sydney dan Kuala Lumpur.
  • BMKG melaporkan abu mencapai 50,000 kaki di Sumatera, namun tiada amaran tsunami dikeluarkan.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan