Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Ini Yang Akan Berlaku Pada Dunia Jika Semua Gunung Berapi Meletus Serentak

Gunung berapi
Kredit: Antara News

Satu letusan gunung berapi sudah cukup untuk membawa malapetaka kepada sesuatu tempat itu.

Tapi cuba bayangkan, bukan satu atau dua, tetapi semua gunung berapi aktif di seluruh dunia tiba-tiba meletus pada masa yang sama.

Dengar seperti filem fantasi, namun sekiranya perkara ini terjadi, kesannya bukan lagi sekadar melibatkan kawasan berhampiran gunung berapi.

Malah, ia berpotensi memberi kesan kepada hampir seluruh dunia.

Untuk pengetahuan, terdapat kira-kira 1,500 gunung berapi yang berpotensi aktif di seluruh dunia.

Kredit: Antara News

Dalam dunia sains pula, sesebuah gunung berapi biasanya dianggap aktif jika pernah meletus dalam tempoh 10,000 tahun lalu.

Daripada jumlah itu, sekitar 550 sahaja pernah direkodkan meletus dalam sejarah manusia.

Namun, bila bercakap tentang bahaya gunung berapi, jumlah sebenarnya bukan perkara paling penting.

Apa yang lebih membimbangkan adalah sebesar mana letusan yang berlaku.

Macam mana kekuatan letusan gunung berapi diukur?

Kredit: Antara News

Kekuatan letusan gunung berapi biasanya diukur menggunakan Volcanic Explosivity Index (VEI) atau Indeks Letupan Gunung Berapi.

Secara ringkas, semakin tinggi nilai VEI, semakin besar jumlah bahan gunung berapi yang dilepaskan ke udara.

Sebagai contoh, letusan pada tahap VEI 1 boleh menghasilkan sekurang-kurangnya 10,000 meter padu bahan gunung berapi.

Setiap kenaikan satu tahap VEI pula mewakili peningkatan kira-kira 10 kali ganda dari segi jumlah bahan yang dikeluarkan.

Salah satu letusan terbesar pernah direkodkan dalam sejarah ialah letusan Gunung Tambora di Indonesia pada 1815 dengan kekuatan VEI 7.

Letupan tersebut begitu kuat sehingga bunyinya dikatakan dapat didengari sejauh kira-kira 2,600 kilometer.

Lebih 160 kilometer padu bahan gunung berapi pula dilepaskan ke atmosfera.

Satu gunung saja mampu ubah cuaca dunia

Kredit: Antara News

Apa yang berlaku selepas letusan Tambora menunjukkan betapa besarnya kesan sebuah gunung berapi terhadap dunia.

Debu dan bahan yang dilepaskan ke atmosfera menghalang sebahagian cahaya Matahari sehingga menyebabkan suhu di hemisfera utara turun kira-kira 0.5 darjah Celsius selama enam bulan.

Tahun selepas itu, iaitu 1816, bahkan dikenali sebagai “Tahun Tanpa Musim Panas”.

Perubahan suhu dan corak hujan menyebabkan tanaman gagal di beberapa kawasan dunia, sekali gus membawa kepada masalah kekurangan makanan.

Itu baru satu gunung berapi.

Kalau semua gunung besar meletus serentak?

Kredit: Antara News

Difahamkan terdapat 32 gunung berapi yang diketahui mempunyai potensi letusan pada tahap VEI 7 atau VEI 8.

Jika kesemuanya meletus pada masa yang sama, kesannya berpotensi menjadi sangat dahsyat sehingga boleh mengancam sebahagian besar hidupan di Bumi, termasuk manusia.

Pada peringkat awal, abu gunung berapi yang memenuhi ruang udara boleh mengganggu penerbangan secara besar-besaran.

Bangunan di kawasan tertentu yang berhampiran zon gunung berapi juga berisiko mengalami kerosakan, manakala sistem bekalan elektrik di banyak kawasan boleh terganggu.

Tidak cukup dengan itu, abu yang turun dalam jumlah besar juga boleh mencemarkan sumber air minuman.

Suhu dunia boleh jatuh mendadak

Antara kesan paling besar adalah terhadap iklim global.

Jika terlalu banyak debu dan gas gunung berapi memasuki atmosfera dalam masa yang sama, cahaya Matahari boleh terhalang daripada sampai ke permukaan Bumi.

Dalam senario ekstrem, suhu global dikatakan boleh turun sehingga sekitar 15 darjah Celsius untuk beberapa bulan.

Kalau berlaku, kesannya kepada kehidupan manusia memang cukup besar.

Tanaman sukar hidup, bekalan makanan terjejas dan cuaca dunia boleh berubah secara drastik.

Hujan asid juga berpotensi berlaku sehingga menyukarkan aktiviti pertanian untuk tempoh yang panjang.

Tapi, boleh ke semua gunung berapi meletus serentak?

Kredit: Antara News

Berita baiknya, kemungkinan perkara ini berlaku adalah sangat rendah.

Ini kerana setiap gunung berapi mempunyai sistem magma tersendiri dan dipengaruhi oleh aktiviti geologi setempat di bawah kerak Bumi.

Maksudnya, letusan di satu gunung berapi tidak semestinya akan menyebabkan gunung berapi lain di bahagian dunia yang berbeza turut meletus pada masa sama.

Untuk membayangkannya, semua gunung berapi meletus serentak boleh diibaratkan seperti setiap gelembung dalam sebotol minuman berkarbonat pecah di permukaan pada saat yang sama.

Secara teori memang boleh dibayangkan, tetapi dalam realiti, ia hampir mustahil berlaku.

Walaupun begitu, sejarah sudah membuktikan bahawa satu letusan besar sahaja sudah cukup untuk mengubah cuaca, memusnahkan kawasan luas dan memberi kesan kepada kehidupan manusia di seluruh dunia.

Intipati
  • Terdapat kira-kira 1,500 gunung berapi berpotensi aktif di seluruh dunia.
  • Letusan Tambora pada 1815 menunjukkan satu gunung berapi mampu mengubah cuaca global.
  • Letusan serentak semua gunung berapi besar hampir mustahil kerana sistem magma berbeza.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan