Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Kemelut Adat, Raja Diwarisi Daripada Kerajaan Terdahulu - MB Negeri Sembilan

Gambar: BERNAMA

Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato' Ismail Lasim mendakwa kemelut membabitkan Institusi Adat dan Raja di negeri itu ketika ini bukan berpunca daripada pentadbiran semasa, sebaliknya adalah masalah yang diwarisi daripada kerajaan terdahulu.

Beliau mendakwa kegagalan Menteri Besar ketika itu melaksanakan tanggungjawab sebagaimana diperuntukkan di bawah Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 (UUTKNS), termasuk keengganan menyempurnakan proses yang sepatutnya, menyebabkan kemelut berkenaan berlarutan dan menjadi semakin parah.

Dalam kenyataan media hari ini, beliau berkata kerajaan negeri semasa yang menerima mandat dengan majoriti melebihi dua pertiga dalam Pilihanraya Negeri yang lalu kini memikul tanggungjawab untuk memulihkan kestabilan pentadbiran, mempertahankan keluhuran UUTKNS serta memelihara Institusi Adat dan Raja.

Pada masa sama, Ismail turut menolak dakwaan bahawa kerajaan negeri atau Menteri Besar mempunyai kuasa untuk “menurunkan” Yang di-Pertuan Besar.

Menurutnya, Yang di-Pertuan Besar tidak dipilih oleh Menteri Besar atau kerajaan negeri, sebaliknya UUTKNS memperuntukkan peranan khusus kepada Undang Yang Empat dalam proses pemilihan berkenaan.

“Manakala perkara berkaitan adat serta proses yang menyentuh kedudukan institusi berkenaan hendaklah dilaksanakan menurut peruntukan UUTKNS dan melalui institusi yang mempunyai bidang kuasa.

“Justeru, adalah tidak benar untuk menggambarkan seolah-olah Menteri Besar atau EXCO Kerajaan Negeri mempunyai kuasa secara unilateral untuk menentukan siapa yang menaiki dan meninggalkan takhta.

“Kerajaan negeri tidak pernah mendakwa mempunyai kuasa sedemikian,” katanya.

Tambah Ismail, Negeri Sembilan adalah berbeza daripada negeri-negeri lain dimana struktur pemerintahan adalah melibatkan Yang di-Pertuan Besar, Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin, disamping peranan Dewan Keadilan dan Undang sebagaimana diperuntukkan oleh Undang-Undang Tubuh.

“Sebab itulah, apa-apa kemelut yang melibatkan adat dan institusi tersebut tidak wajar dipermudahkan menjadi pertikaian politik antara Kerajaan Negeri dan Istana.

“Ia jauh lebih besar daripada kepentingan mana-mana parti dan individu.

“Kerajaan berpandangan bahawa jalan penyelesaiannya mestilah kembali kepada adat, Undang-Undang Tubuh dan institusi yang diberikan bidang kuasa oleh undang-undang,” katanya lagi.

Menurut Ismail lagi, isu sebenar yang perlu diselesaikan adalah membabitkan proses, bidang kuasa serta tafsiran terhadap tindakan institusi adat berkaitan dan perkara itu perlu ditangani menerusi saluran yang diperuntukkan oleh adat serta UUTKNS.

Kerajaan negeri, katanya, tidak mahu mengambil alih tugas institusi adat dalam menentukan pertikaian itu dan akan menghormati sebarang keputusan muktamad yang dibuat secara sah oleh institusi yang mempunyai bidang kuasa.

Beliau turut menyeru semua pihak supaya mencari jalan penyelesaian secara berhemah, tertib dan bermaruah demi mengembalikan keharmonian di Negeri Sembilan.

“Biar mati anak, jangan mati adat.”