Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Kenali Grimsby Town, Kelab Kecil Liga Bawahan Yang Kalahkan MU
Grimsby Town Football Club (GTFC) mungkin bukan nama besar dalam bola sepak dunia.
Tapi, siapa sangka kelab kecil dari League Two England ini kini menjadi sebutan selepas mencipta kejutan terbesar dalam sejarah bola sepak moden.
Pada 27 Ogos 2025, GTFC menyingkirkan gergasi Premier League, Manchester United (MU), dalam pusingan kedua Carabao Cup (Piala EFL).
Perlawanan di Blundell Park berakhir 2–2 dalam masa sebenar sebelum GTFC menang menerusi penentuan sepakan penalti 12–11.
Bagi pengurus GTFC David Artell, yang mengambil alih pasukan pada 2023, kemenangan ini bukan sekadar kejutan bola sepak, tetapi juga simbol kebangkitan sebuah kelab kecil.
“Malam ini untuk seluruh bandar dan komuniti. Kami mahu letakkan Grimsby kembali di peta bola sepak,” katanya penuh bangga.
Malah, penjaga gol GTFC Christy Pym, yang sempat mengakui dirinya sebagai peminat MU, menyifatkan pengalaman itu sebagai sesuatu yang tak masuk akal.
Kelab ini sebenarnya sudah lama bertapak dalam sejarah bola sepak England. Ditubuhkan pada tahun 1878, GTFC pada mulanya dikenali sebagai Grimsby Pelham.
Nama itu diambil daripada keluarga Earl of Yarborough, seorang tuan tanah berpengaruh. Hanya setahun kemudian, mereka menukar nama kepada Grimsby Town.
GTFC berpindah-pindah gelanggang sebelum akhirnya menjadikan Blundell Park sebagai rumah tetap pada 1899.
Stadium ini dinamakan sempena Peter Blundell, tokoh yang pernah mendermakan tanah untuk tujuan pendidikan pada abad ke-17.
Dengan kapasiti kecil berbanding Old Trafford, hanya sekitar 10 peratus, stadium ini kini jadi saksi kepada antara kejutan terbesar Piala EFL.
GTFC pernah melalui zaman kegemilangan terutama pada era antara dua Perang Dunia.
Mereka pernah beraksi di Divisyen Satu (kini Premier League) dan mencatat kedudukan tertinggi liga di tangga kelima pada musim 1934–35.
Pada 1925, mereka mula memakai jersi belang hitam putih, identiti yang kekal hingga hari ini.
Rekod bersejarah lain termasuk perlawanan separuh akhir Piala FA 1939 di Old Trafford menentang Wolverhampton Wanderers yang dihadiri 76,962 penyokong. Ia merupakan rekod kehadiran tertinggi stadium itu yang masih belum dipecahkan hingga kini.
Namun, nasib tidak menyebelahi mereka apabila tewas 0–5 selepas beraksi dengan 10 pemain sepanjang perlawanan.
Menariknya, GTFC turut terkenal dengan jolokan “The Grimsby Reaper”. Menurut laporan The Guardian, sejak 1997, kelab ini sering jadi ‘punca’ jurulatih lawan dipecat selepas kalah kepada mereka.
Antara nama besar yang terkena termasuk Steve Bruce, Gordon Strachan dan bahkan Sven-Goran Eriksson.
Kini, senarai itu semakin panjang apabila Manchester United turut menjadi ‘mangsa terbaru’.
Untuk info, nilai keseluruhan skuad GTFC dianggarkan hanya sekitar £3.1 juta, jauh berbeza dengan skuad United yang bernilai lebih £765 juta.
Dari segi pencapaian, United punya 20 gelaran liga, 19 piala domestik dan 3 kejuaraan Eropah. Manakala, kejayaan terbesar GTFC hanyalah kejuaraan Divisyen Kedua pada 1901 dan 1934 serta trofi Auto Windscreens Shield pada 1998.
Namun, pada satu malam penuh magis di Blundell Park, angka dan sejarah itu tidak bermakna apa-apa.
Yang tinggal hanyalah semangat melawan, sorakan penyokong setia dan keberanian menumbangkan gergasi bola sepak dunia.
Bagi penyokong GTFC, kemenangan ini akan dikenang selamanya sebagai ‘malam ajaib’ yang mengembalikan maruah kelab. Bagi penyokong United pula, ia mungkin satu lagi malam malap dalam sejarah moden kelab mereka.
BACA: Matlamat Manchester United Adalah Juara Liga Musim Ini – Patrick Dorgu
BACA: Kekalahan Memalukan, Amorim Minta Maaf Kepada Penyokong
BACA: Pemain Man United Lupa Cara Nak Main Bola, Perlu Lebih Matang – Amorim
Sumber: Grimsby Town FC, BBC