Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Kenali Siapa Ibu Soko & Peranannya Dalam Adat Perpatih
Malaysia dikenali sebagai sebuah negara yang mengamalkan sistem monarki berperlembagaan yang unik. Sembilan negeri di negara ini mempunyai raja atau sultan dan setiap lima tahun seorang daripada mereka akan dipilih secara bergilir untuk menjadi Yang di-Pertuan Agong.
Pun begitu, sistem beraja di Negeri Sembilan pula agak berbeza kerana negeri itu menggunakan Adat Perpatih yang mempunyai struktur kepimpinan dan warisan tersendiri
Menurut Portal Rasmi Kerajaan Negeri Sembilan, adat Perpatih berasal dari Alam Minangkabau. Ia telah dibawa dan diterima pakai di Negeri Sembilan oleh para perantau yang mula meneroka wilayah tersebut sekitar abad ke-12.
Bagaimanapun, adat Perpatih yang diamalkan di Negeri Sembilan sedikit berbeza dengan adat Perpatih di tanah Minangkabau, Sumatera. Hal ini kerana telah berlaku penyesuaian Adat Perpatih dengan amalan dan adat orang asli yang mengamalkan adat tempatan atau disebut Adat Benar.
Tentunya ramai di antara kita yang mengetahui mengenai hierarki pemerintahan adat Perpatih iaitu Anak Buah, Buapak, Lembaga, Undang dan Yang Dipertuan Besar.
Namun, mungkin masih ramai yang tidak tahu mengenai peranan Ibu Soko di negeri tersebut.

Menurut laman web Galeri Diraja Tuanku Jaafar, wanita dalam adat Perpatih diberi peranan utama iaitu 'Ibu Soko'. Ia merupakan gelaran untuk wanita yang mempunyai kedudukan penting dan dihormati dalam masyarakat.
Ibu Soko merujuk kepada wanita atau perempuan yang berilmu dan berpengalaman tentang peradaban dan kehidupan yang boleh dijadikan rujukan dan panduan.
Nama lain bagi Ibu Soko ialah Bundo Kanduang. Bundo bermaksud ibu dan Kanduang pula sejati. Oleh itu, Bundo Kanduang adalah ibu sejati dengan sifat keibuan dan kepimpinan.
Konsep itu menyatakan bahawa wanita dianggap sebagai pemilik kualiti kepimpinan.
Peranan tersebut dimainkan oleh wanita dalam masyarakat Minangkabau yang bertanggungjawab menjaga warisan suku serta mengutamakan kepentingan komuniti.
Menurut Jabatan Muzium Malaysia (JMM), terdapat lima ciri yang perlu ada pada Ibu Soko.
Benar dalam kehidupannya yang bersifat benar, begitu juga dalam perbuatannya
Bersifat jujur dan dapat dipercayai zahir dan batin
Seorang Ibu Soko itu mestilah mempunyai sifat yang cerdik, tahu dan pandai. Bijak berbicara kerana dia akan mendidik anak dalam rumah tangga dan sukunya.
Pewaris pada tanah pusaka yang merupakan kelangsungan adat
Ibu Soko wajib ambil tahu saudara lelaki dan juga perempuan dan bantu mereka yang dalam kesusahan
Ibu Soko dipilih berdasarkan ilmu, pengalaman, pengetahuan dan kepakarannya dalam bidang adat, ekonomi dan sosial.
Dalam sesuatu suku, jumlah Ibu Soko paling ramai dipilih adalah tiga orang.
Mereka dianggap sebagai perpustakaan bergerak dan pelantikan mereka pula perlu mendapat persetujuan semua anak buah.
Kedudukan Ibu Soko berfungsi sebagai matriarki, yang berperanan mendidik, mengajar dan menjadi tunjang kepada kesejahteraan komuniti.
Ibu Soko memainkan peranan penting dalam semua aspek masyarakat adat Perpatih, termasuk dalam pentadbiran hingga menangani pelbagai acara dan ritual dalam kumpulan keluarga dan kaum masing-masing.
"Ibu Soko yang dihormati adalah Ibu Soko yang pandai meraih hati orang bawahan mereka di komuniti masing-masing," tulis laman Galeri Diraja Tuanku Jaafar.
Ibu Soko juga berhak mengambil bahagian dalam semua proses acara, walaupun ia adalah pertunangan dan perkahwinan.
Kewibawaan Ibu Soko terserlah dalam penganjuran majlis-majlis penting, termasuk dalam penyediaan dan penyusunan kelengkapan majlis yang dikenali sebagai Adat Mata dalam adat Perpatih.
Segala persiapan majlis lazimnya diselia oleh Ibu Soko, termasuk aspek hiasan, penyediaan makanan serta susunan majlis mengikut adat yang ditetapkan.

Sementara itu, Ibu Soko juga layak mengesahkan pelantikan Buapak dan Lembaga.
Malah, Ibu Soko turut mempunyai hak untuk terlibat dalam majlis perbincangan secara langsung khususnya mengenai hal ehwal adat. Mereka juga bertanggungjawab meneruskan jurai keturunan kelompok kekeluargaannya.
Tanggungjawab itu juga memperlihatkan mereka perlu memastikan keturunan menjadi ahli masyarakat yang berguna.
Mereka juga perlu memelihara harta pusaka dan bertanggungjawab sebagai penguasa tanah dan rumah pusaka.
Ibu Soko perlu mengawal dan memastikan adat Perpatih berjalan dalam landasan yang betul dan lancar tanpa berlaku apa-apa penyelewengan. Mereka juga adalah pengimbang kepada Buapak, Lembaga, Undang dan Raja.
Kesimpulannya, pengaruh Ibu Soko sangat jelas, kedudukannya sangat penting dalam menjaga warisan serta keharmonian komunitinya.
Walaupun istilah Ibu Soko jarang didengari di luar Negeri Sembilan, realitinya peranan mereka amat besar dalam memastikan adat dan tradisi terus dipelihara dari satu generasi ke generasi seterusnya.