Bayangkan selepas seharian berdepan kesibukan kerja, bunyi kenderaan dan kesesakan lalu lintas, anda dapat berehat seketika di bawah teduhan pokok sambil menikmati udara segar.
Bagi sesetengah orang, meluangkan masa di tengah kehijauan alam mungkin kelihatan seperti perkara biasa. Namun, ruang hijau di kawasan bandar sebenarnya mempunyai peranan besar dalam membantu meningkatkan kualiti kehidupan penduduk.

Menurut tinjauan yang diterbitkan Time Out, Medellín di Colombia muncul sebagai bandar dengan penilaian tertinggi bagi ruang hijau dan akses kepada alam semula jadi, apabila 92 peratus penduduk yang disurvei memberikan penilaian baik atau menakjubkan.
Boston di Amerika Syarikat berada di tempat kedua dengan 88 peratus, manakala Sydney di Australia menduduki tempat ketiga dengan 87 peratus.
Tinjauan itu melibatkan 18,500 responden di seluruh dunia yang diminta menilai kemudahan ruang hijau dan akses kepada alam semula jadi di bandar masing masing.
Medellín Manfaatkan Pokok Untuk Sejukkan Bandar
Antara contoh menarik ialah Medellín yang melaksanakan inisiatif koridor hijau pada 2016 bagi menangani masalah haba yang terperangkap di kawasan bangunan dan jalan raya.
Menerusi inisiatif itu, jutaan tumbuhan kecil dan ribuan pokok ditanam bagi menghubungkan kawasan hijau di seluruh bandar.
Usaha berkenaan dilaporkan membantu menurunkan suhu keseluruhan bandar sebanyak dua darjah Celsius.
Langkah itu menunjukkan bahawa penanaman pokok bukan sekadar mencantikkan landskap, malah berpotensi membantu mengurangkan kesan pulau haba bandar, iaitu keadaan apabila kawasan bandar menjadi lebih panas berbanding kawasan sekitarnya akibat struktur binaan dan permukaan jalan.
Boston Dan Sydney Tampilkan Keunikan Tersendiri
Di Boston, Public Garden menjadi antara ruang hijau yang terkenal. Taman itu dibangunkan pada 1837 dan dikenali sebagai taman botani awam pertama di Amerika Syarikat.
Sementara itu, Sydney turut mempunyai pelbagai kawasan hijau menarik seperti Chinese Garden of Friendship dan Auburn Botanic Gardens.
Bandar berkenaan juga sedang memperluas usaha menghijaukan kawasan bandar. Menurut laporan yang dirujuk, lebih 300,000 kaki persegi ruang awam telah dilandskapkan, manakala jumlah tumbuh tumbuhan dijangka meningkat sebanyak 50 peratus menjelang 2030.
Mengapa Ruang Hijau Penting Untuk Kita?
Secara umumnya, ruang hijau merujuk kepada kawasan yang sebahagian atau keseluruhannya diliputi tumbuh tumbuhan seperti rumput, bunga dan pokok.
Kawasan ini bukan hanya terhad kepada taman awam. Ia juga boleh diwujudkan di atas bumbung bangunan atau melalui kebun komuniti di kawasan bandar.
Selain membantu mengurangkan suhu persekitaran dan pencemaran udara, ruang hijau turut menyediakan habitat kepada pelbagai hidupan serta menyokong kepelbagaian biodiversiti.
Dari sudut kesejahteraan manusia pula, berada di kawasan semula jadi boleh membantu seseorang berehat, mengurangkan tekanan dan menenangkan fikiran selepas melalui rutin harian yang meletihkan.
Ruang terbuka juga memberi lebih banyak peluang untuk melakukan aktiviti fizikal seperti berjalan kaki, berjoging atau berbasikal. Pendedahan kepada cahaya matahari pula membantu tubuh menghasilkan vitamin D yang penting untuk kesihatan tulang dan otot.
Hakikatnya, ruang hijau bukan sekadar pelengkap kepada pembangunan bandar. Ia merupakan sebahagian daripada persekitaran yang boleh membantu penduduk menjalani kehidupan lebih sihat dan selesa.
Kadangkala, untuk merehatkan fikiran, kita tidak semestinya perlu pergi jauh atau mengeluarkan belanja besar. Berjalan sebentar di taman berhampiran, duduk di bawah pokok atau meluangkan masa di kawasan terbuka juga boleh menjadi langkah mudah untuk mendekatkan diri dengan alam semula jadi.

