Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Kenapa Bau Buku Lama Buat Ramai Orang Rasa Tenang? Rupanya Ada Penjelasan Saintifik

BUKU
Gambar hiasan. Kredit: Sabreehussin

Kenapa Bau Buku Lama Buat Ramai Orang Rasa Tenang? Rupanya Ada Penjelasan Saintifik

Pernah tak anda membuka sebuah buku lama, kemudian secara spontan menghidu helaian kertasnya kerana tertarik dengan bau yang begitu unik?

Bau yang sedikit berhabuk, berkayu, manis dan seakan-akan vanila itu sebenarnya mempunyai nama tersendiri, iaitu bibliosmia, istilah yang digunakan untuk menggambarkan rasa suka terhadap bau buku, khususnya buku lama.

Menariknya, kegemaran menghidu buku bukan sekadar tabiat pelik dalam kalangan kaki buku.

Ada penjelasan daripada sudut kimia dan cara otak manusia memproses bau yang membuatkan aroma tersebut begitu dekat dengan emosi serta kenangan.

Menurut pakar neurologi dan pencinta buku, Dr Rab Nawaz Khan, bau buku lama boleh berbeza mengikut jenis kertas, dakwat, bahan jilidan, keadaan penyimpanan dan usia buku.

Katanya, bau buku lama biasanya boleh digambarkan sebagai hangat, berkayu, sedikit manis, berhabuk dan kadangkala seakan-akan vanila, dengan sedikit bau tanah atau hapak.

Bau Buku Lama Ada 'Resipi' Tersendiri

Jadi, apakah sebenarnya yang menyebabkan buku lama mempunyai bau sedemikian?

Apabila kertas semakin berusia, bahan seperti selulosa dan lignin dalam serat kayu mula terurai secara perlahan.

Proses tersebut menghasilkan sebatian organik meruap atau VOC (volatile organic compounds) yang kemudiannya dilepaskan ke udara dan menghasilkan aroma tersendiri.

Antara sebatian yang menyumbang kepada bau buku lama ialah vanilin, yang mempunyai aroma seperti vanila, benzaldehid yang memberikan sedikit bau seperti badam, furfural yang dikaitkan dengan aroma roti bakar serta guaiakol yang menghasilkan sedikit bau berasap atau pedas.

Sebab itu, ada buku lama yang boleh membuatkan seseorang teringat kepada bau biskut, kayu, kopi atau suasana perpustakaan.

Bukan itu sahaja, dakwat, gam, kulit dan kain pada bahagian jilidan juga mengalami perubahan mengikut usia dan menyumbang kepada bau keseluruhan sesebuah buku.

Keadaan persekitaran seperti habuk, kelembapan dan penyimpanan turut memainkan peranan.

Kenapa Bau Buku Boleh Buat Kita Rasa Tenang?

Menurut Dr Khan, jawapannya banyak berkait dengan memori dan emosi.

Bau mempunyai hubungan yang kuat dengan bahagian otak yang terlibat dalam emosi serta ingatan autobiografi.

Sebab itu, aroma buku lama boleh secara tiba-tiba mengingatkan seseorang kepada perpustakaan ketika zaman persekolahan, rumah datuk dan nenek atau suasana membaca yang tenang.

Dengan kata lain, apabila seseorang menghidu buku lama, bukan sekadar bau kertas yang dihidu, kenangan lama juga boleh 'kembali' bersama aroma tersebut.

Selain faktor nostalgia, sesetengah aroma seperti vanila dan badam juga sememangnya dikaitkan dengan makanan serta suasana yang menyenangkan.

Buku Lama Selamat Dihidu?

Berita baik untuk kaki buku, bau kertas lama yang normal daripada buku yang bersih dan kering secara umumnya tidak berbahaya ketika dikendalikan seperti biasa.

Namun, situasi berbeza jika buku tersebut mempunyai tanda-tanda kulat atau kelembapan yang serius.

Antara perkara yang perlu diberi perhatian ialah bau seperti ruang bawah tanah yang terlalu kuat, pertumbuhan berbulu atau berdebu pada permukaan, helaian basah atau menggelembung, kesan tompokan serta halaman yang melekat antara satu sama lain.

Jika seseorang mengalami batuk, sesak nafas, mata gatal atau hidung tersumbat ketika mengendalikan buku berkenaan, ia juga boleh menjadi petanda supaya buku tersebut tidak terus dihidu atau dikendalikan.

Buku yang jelas berkulat sebaiknya diasingkan daripada koleksi lain dan mendapatkan penilaian daripada pakar pemuliharaan buku jika perlu.

Ringkasnya, bau hangat, manis dan kering biasanya merupakan hasil proses penuaan semula jadi buku.

Tetapi jika baunya terlalu kuat, lembap dan disertai tanda kulat, itu bukan lagi aroma klasik buku lama, sebaliknya tanda supaya anda berhati-hati.

Sumber:www.rd.com
Intipati
  • Bibliosmia merujuk kepada kegemaran terhadap bau buku, khususnya aroma unik buku lama.
  • Penuaan selulosa dan lignin menghasilkan VOC seperti vanilin, benzaldehid, furfural dan guaiakol.
  • Bau buku lama boleh mencetuskan nostalgia kerana hubungan kuat bau dengan emosi dan ingatan.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan