Bendera putih sudah digunakan sebagai tanda menyerah kalah sejak ribuan tahun lalu, malah simbol ini begitu sinonim dengan tindakan tersebut sehingga sering dipaparkan dalam pelbagai filem perang dan kartun seperti Tom and Jerry.
Namun, pernahkah anda terfikir mengapa warna putih dipilih sebagai isyarat untuk menghentikan pertempuran?
Hakikatnya, penggunaan bendera putih bukanlah amalan moden.
Catatan sejarah menunjukkan masyarakat Rom purba dan China purba sudah merujuk kepada penggunaan bendera putih ketika pihak tertentu mahu menyerah kalah kira-kira 2,000 tahun lalu.
Simbol menyerah kalah sejak zaman dahulu
Walaupun penggunaannya tidak sentiasa sama sepanjang sejarah, bendera putih sudah lama dikaitkan dengan tindakan menyerah kalah.
Dalam karya Historiae yang ditulis pada abad kedua Masihi, sejarawan Rom Tacitus mencatatkan bahawa penyokong Maharaja Vitellius mengibarkan bendera putih selepas tewas kepada penyokong pesaingnya, Vespasian, dalam Pertempuran Kedua Cremona pada tahun 69 Masihi.
Di China pula, bendera putih sudah menjadi simbol menyerah kalah pada zaman Dinasti Han awal, yang mula berkuasa sekitar tahun 25 Masihi.
Kenapa warna putih dipilih?
Walaupun penggunaan bendera putih di dunia Timur dan Barat dipercayai berkembang secara berasingan, pemilihan warna tersebut mempunyai sebab yang praktikal.
Pertama, kain putih yang terang lebih mudah menonjol berbanding bendera, panji dan sepanduk berwarna-warni yang lazim dibawa oleh tentera ke medan perang.
Keadaan ini membolehkan pihak lawan mengenal pasti dengan jelas bahawa satu kumpulan mahu menghentikan pertempuran.
Selain itu, kain berwarna atau yang telah dicelup biasanya lebih mahal dan sukar diperoleh pada zaman dahulu. Kain putih tanpa pewarna pula lebih mudah ditemui, terutama ketika tentera berada dalam keadaan terdesak.
Malah, bahan tersebut boleh diperoleh daripada pelbagai sumber di medan perang seperti khemah, tempat perlindungan, selimut atau pakaian. Kain berkenaan kemudiannya boleh diikat pada sebatang kayu atau diangkat sebagai isyarat.
Keadaan itu membolehkan isyarat dihantar kepada pihak lawan dengan segera tanpa memerlukan persediaan khusus.
Bayangkan jika warna biru atau hijau digunakan sebagai tanda menyerah kalah. Bagi sekumpulan tentera yang sudah terkepung dan kehabisan bekalan, mencari kain dengan warna tertentu mungkin jauh lebih sukar.
Justeru, pemilihan warna putih bukan sekadar soal tradisi. Warnanya yang mudah dikenal pasti serta kain yang lebih mudah diperoleh menjadikannya pilihan praktikal untuk menyampaikan isyarat bahawa sesuatu kumpulan bersedia menghentikan pertempuran.

