Pernah tak anda terfikir kenapa KLIA ditulis menggunakan huruf besar, manakala klia2 pula sebelum ini menggunakan huruf kecil?
Persoalan itu dikongsikan oleh seorang pengguna Threads, shafiqheiqal_, menerusi satu hantaran yang ternyata menarik perhatian ramai.
“Korang pernah terfikir tak kenapa KLIA huruf besar tapi klia2 huruf kecil?” tanyanya.
Menjengah ke ruangan komen, seorang pengguna, mini.yon_, tampil memberikan penjelasan mengenai perbezaan gaya penulisan kedua-dua nama berkenaan.
Menurutnya, KLIA merupakan singkatan kepada Kuala Lumpur International Airport, justeru ia ditulis menggunakan huruf besar sebagai akronim nama rasmi lapangan terbang itu.
Sementara itu, katanya, klia2 sebelum ini sengaja menggunakan huruf kecil sebagai sebahagian daripada strategi penjenamaan bagi membezakannya sebagai terminal yang memberi tumpuan kepada penerbangan tambang rendah.
“KLIA bermaksud Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, yang ditulis dalam huruf besar sebagai singkatan (initialism). klia2 pada asalnya direka bentuk dalam huruf kecil dalam jenama korporat untuk membezakannya sebagai pusat penerbangan tambang murah.,” jelasnya.
Beliau turut menjelaskan bahawa kedua-dua terminal itu kini telah menggunakan penjenamaan baharu iaitu KLIA Terminal 1 dan KLIA Terminal 2.
Seorang lagi pengguna, muhdzahari, turut berkongsi pandangan sama dan berkata penggunaan huruf kecil pada nama klia2 sebelum ini merupakan sebahagian daripada identiti penjenamaannya.
“Ini branding KLIA 2 dulu-dulu, sengaja ditulis huruf kecil. Sekarang dah jadi KLIA Terminal 2,” katanya.
Dalam pada itu, ada juga netizen yang mengambil peluang menjawab persoalan tersebut dengan nada berseloroh.
“Sbb klia2 darjah 3, KLIA darjah 5 bang,” ujar i.am.ben7 secara berseloroh.
Tidak kurang juga yang mencuit hati apabila seorang pengguna lain, banyakcekadakz, berkata:
“Kat Bangi ada Klia 3.”

