Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Pernah tak, tengah scroll media sosial atau berbual dengan kawan, tiba-tiba seseorang menguap dan beberapa saat kemudian kita pula ikut sama menguap? Lebih pelik, kita langsung tak rasa mengantuk pun.
Fenomena yang nampak biasa ini sebenarnya masih menjadi misteri yang menarik perhatian saintis di seluruh dunia.
Menguap bukan sekadar tanda mengantuk.
Di sebalik pergerakan membuka mulut luas dan menarik nafas dalam-dalam itu, terdapat pelbagai proses biologi serta psikologi yang berlaku dalam tubuh manusia.
Pada suatu ketika dahulu, saintis percaya manusia menguap kerana badan kekurangan oksigen.
Teori itu mengatakan menguap membantu membawa lebih banyak oksigen ke dalam paru-paru dan mengeluarkan karbon dioksida daripada badan.
Namun, kajian yang dijalankan pada tahun 1987 menolak teori tersebut apabila penyelidik mendapati jumlah oksigen atau karbon dioksida dalam udara tidak mempengaruhi kekerapan seseorang menguap.
Sebaliknya, penyelidik kini berpendapat menguap berfungsi sebagai mekanisme untuk meningkatkan tahap kewaspadaan otak.
Apabila seseorang menguap, degupan jantung akan meningkat buat seketika, aliran darah ke otak menjadi lebih lancar dan tubuh menerima rangsangan untuk kembali fokus. Sebab itu ramai yang menguap ketika terlalu bosan, mengantuk atau melakukan aktiviti yang kurang merangsangkan minda.
Menguap bantu 'sejukkan' otak
Satu lagi teori yang mendapat sokongan ramai penyelidik ialah menguap membantu menyejukkan otak.
Ketika menguap, otot muka dan rahang akan meregang, sekali gus meningkatkan aliran darah di bahagian kepala. Pada masa sama, udara yang disedut masuk membantu mengurangkan suhu otak beberapa ketika.
Otak yang lebih sejuk dipercayai dapat berfungsi dengan lebih cekap, sekali gus meningkatkan tahap tumpuan dan prestasi mental.
Kenapa menguap boleh berjangkit?
Inilah bahagian yang paling menarik.
Penyelidik mendapati melihat, mendengar atau membaca tentang orang menguap sahaja sudah cukup untuk membuatkan seseorang turut menguap.
Fenomena ini dikenali sebagai contagious yawning atau menguap berjangkit.
Kajian neurologi menunjukkan ia berkait rapat dengan sistem mirror neurons, iaitu sel saraf yang membantu manusia meniru perbuatan dan memahami emosi individu lain.
Atas sebab itu, seseorang lebih mudah menguap apabila melihat ahli keluarga, pasangan atau rakan rapat menguap berbanding orang yang tidak dikenali.
Lebih menarik, fenomena sama turut ditemui dalam beberapa spesies haiwan seperti cimpanzi, bonobo, serigala dan anjing, menunjukkan ia mungkin mempunyai kaitan dengan hubungan sosial serta empati.
Bayi tidak mudah dijangkiti menguap
Walaupun orang dewasa mudah 'terjangkit', bayi berusia bawah empat hingga lima tahun lazimnya tidak menunjukkan fenomena tersebut.
Saintis percaya perkara itu berlaku kerana bahagian otak yang mengawal empati dan interaksi sosial masih belum berkembang sepenuhnya pada usia tersebut.
Menguap bukan hanya kerana mengantuk
Selain mengantuk dan bosan, manusia juga boleh menguap ketika mengalami tekanan, kebimbangan atau sebelum melakukan sesuatu yang mencabar seperti atlet sebelum pertandingan, penyanyi sebelum membuat persembahan dan penerjun payung sebelum melompat.
Penyelidik berpendapat menguap membantu tubuh mengawal tahap rangsangan fisiologi supaya seseorang lebih bersedia menghadapi situasi berkenaan.
Walaupun masih banyak persoalan mengenai menguap yang belum terjawab, saintis bersetuju bahawa perbuatan yang kelihatan mudah itu sebenarnya melibatkan gabungan fungsi otak, sistem saraf dan hubungan sosial manusia.
Jadi, kalau anda tiba-tiba menguap selepas membaca artikel ini, jangan risau. Kemungkinan besar otak anda hanya sedang bertindak balas secara semula jadi.