Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

“Kenapa Muka Abang Ni Asyik Keluar TV?” - Pegawai RTM Tampil Beri Penjelasan

RTM
Tangkap layar video Threads/ @qaleeshalee
Artikel ini diolah & diterbitkan ke Siakap Keli dengan kebenaran dari sumber asal

“Kenapa muka abang ni lagi banyak screentime daripada Agong?”

Persoalan berseloroh itu tular dalam kalangan warga maya selepas seorang pegawai teknikal Radio Televisyen Malaysia (RTM) dilihat beberapa kali muncul di kaca televisyen ketika siaran langsung sambutan Hari Kebangsaan 2026.

Menjawab persoalan tersebut, seorang pengguna Threads, @qaleeshalee berkongsi video penjelasan pegawai berkenaan yang dikenali sebagai Nadir.

Menerusi video itu, Nadir menjelaskan kemunculannya yang kerap di skrin bukan kerana membayar RTM, sebaliknya ia sebahagian daripada tugasan yang dipertanggungjawabkan kepadanya.

Katanya, beliau ditugaskan bersama penonton bagi menghidupkan suasana sambutan, termasuk mengajak mereka bersorak dan memberikan reaksi ketika kamera merakam acara.

“Allah, saya bukan bayar RTM. Saya bertugas, saya bertugas. Jadi ini kerja saya,” katanya dalam video berkenaan.

Menurutnya, beliau turut diberikan alat komunikasi bagi membolehkannya menerima arahan daripada penerbit walaupun berada jauh dari kamera.

Jelasnya, antara tugas yang diberikan adalah mengendalikan bahagian point of view (POV), termasuk memastikan penonton bersedia apabila kamera mengambil gambar mereka.

“Penerbit akan cakap, ‘Ok Nadir, stand by POV’. Maksudnya, Nadir kena panggil penonton, pandang dekat kamera dan buat ‘air’,” ujarnya.

Penjelasan itu ternyata menghiburkan warga maya yang sebelum ini tertanya-tanya mengapa wajah Nadir begitu kerap muncul sepanjang siaran.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata pengguna turut memberikan reaksi positif sambil berseloroh mengenai ‘populariti’ baharu pegawai teknikal berkenaan.

“It's okayyyy. Saya pun dah agak dia mesti kru RTM. Muka elok tak apa keluar banyak kali pun,” komen @cik.eena.

Seorang lagi pengguna, @nurazreene pula berkata, wajah Nadir sudah mula dikenali sehingga ibunya turut menyedari kemunculannya di televisyen.

“Bro jangan risau, mak kita pun kenal awak. Dia kata, ‘Eh, itu siapa eh? Selalu keluar TV dia kata’,” katanya.

Di sebalik gurauan warga maya, penjelasan Nadir secara tidak langsung memperlihatkan peranan kru di belakang tabir yang turut bekerja memastikan siaran langsung acara besar negara berlangsung meriah dan lancar.

Intipati
  • Nadir menjelaskan kemunculannya di kaca televisyen berlaku kerana tugasan teknikal RTM.
  • Beliau ditugaskan menghidupkan suasana penonton ketika siaran langsung Hari Kebangsaan 2026.
  • Warga maya memberikan reaksi positif dan berseloroh mengenai populariti baharu pegawai teknikal itu.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan