Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Kenyataan Masjid At-Taqwa TTDI Berhubung Dakwaan Diboikot

Sofea
Kenyataan Masjid At-Taqwa TTDI
Kredit: FB Masjid At-Taqwa TTDI

Kenyataan Masjid At-Taqwa TTDI Berhubung Dakwaan Diboikot

Masjid At-Taqwa Taman Tun Dr Ismail Kuala Lumpur menjawab dakwaan yang mengatakan bahawa masjid itu telah diboikot.

Menerusi satu kenyataan, pengerusinya, Dato's Mohd Fadzli Yusof berkata pihaknya mengambil perhatian berkaitan satu hantaran yang dimuat naik oleh seorang pengguna media sosial menerusi aplikasi Threads.

Hantaran pada 22 Februari itu berkongsi mengenai kekurangan orang yang hadir untuk berbuka puasa di masjid. Ia menunjukkan suasana agak lengang tanpa kehadiran jemaah sepenuhnya.

"Hantaran tersebut telah mendapat perhatian ramai sehinggalah pelbagai komentar ditinggalkan oleh para pengguna aplikasi tersebut.

"Pihak masjid mengambil perhatian serius mengenai sebahagian komentar negatif yang boleh mencemarkan reputasi dan nama baik masjid.

"Hantaran tersebut menunjukkan suasana agak lengang tanpa kehadiran jemaah sepenuhnya. Hakikatnya, jemaah mula memenuhi masjid bermula jam 7.00 petang.

"Seperti mana Ramadan tahun lepas, bilangan jemaah yang datang berbuka puasa di masjid pada tahun ini juga adalah lingkungan 800-1000 orang setiap hari," katanya.

Santuni semua jemaah tanpa syarat

Ujarnya, pihak masjid menyantuni semua jemaah yang hadir tanpa syarat. Malah, ada ketikanya pihak masjid menempah makanan tambahan bagi menampung jemaah yang hadir terlalu ramai di luar jangkaan.

Pihak masjid juga telah memperuntukkan makanan berbuka puasa untuk diagihkan kepada orang awam di Stesen MRT Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur.

"Selain itu, pihak masjid mengambil inisiatif untuk menyantuni ahli kariah yang uzur dengan menghantar makanan ke rumah mereka.

"Untuk makluman, pihak masjid telah memperuntukkan dana sebanyak RM450,000.00 bagi program berbuka puasa, moreh dan sahur sepanjang Ramadan bagi tahun ini," katanya.

Fadzli juga berkata pihak masjid sentiasa cakna untuk menerapkan adab-adab kepada para jemaah ketika berada di masjid.

Pemerkasaan program

Begitu juga dengan pemerkasaan program pengajian ilmu agama yang memperlihatkan pihak masjid telah menyediakan barisan asatizah bertauliah yang mencakupi pelbagai bidang pengajian ilmu agama.

"Setiap hari diadakan kuliah subuh, kuliah maghrib, kuliah dhuha dan kuliah zohor muslimat. Pihak masjid sentiasa merencana perancangan yang terbaik untuk ahli kariah, khususnya bagi mereka yang sentiasa melazimi solat berjemaah di masjid.

"Untuk makluman, jemaah muslimin dan muslimat yang solat berjemaah di masjid pada waktu subuh dalam lingkungan 500 orang setiap hari," katanya.

Menurutnya lagi, pihak masjid mengambil berat mengenai kehadiran belia dan anak-anak ke masjid sebagai generasi pelapis yang mengimarahkan masjid.

Justeru, pihak masjid telah merancang pelbagai inisiatif untuk menyantuni golongan belia dan kanak-kanak. Antaranya ialah kelas mengaji Al-Quran mingguan untuk remaja dan kanak-kanak, hari kanak-kanak peringkat masjid, program Khatan Perdana dan program Kids Zone sepanjang Ramadan dan program Semarak Cinta Al-Quran: Cilik Cinta Al-Quran.

"Pihak masjid juga menyediakan program riadah seperti pertandingan Karom peringkat masjid, pertandingan e-sport dan sebagainya. Pihak masjid juga bersedia menjalinkan kerjasama dengan pelbagai pihak untuk menggerakkan program belia dan kanak-kanak.

"Pihak masjid memastikan segala hal ehwal pengurusan masjid adalah berdasarkan kepada Kaedah-kaedah Pentadbiran Undang-Undang Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah Persekutuan) (Jawatankuasa Kariah) 2019.

"Manakala hal ehwal pengurusan kewangan masjid pula berdasarkan kepada Garis Panduan Pengurusan Kewangan Masjid dan Surau Wilayah Persekutuan.

"Pengurusan hal ehwal kematian pula berdasarkan kepada Garis Panduan Pengurusan Tanah Perkuburan Islam Wilayah Persekutuan. Pada masa yang sama, pihak masjid sentiasa akur kepada arahan dan saranan dalam memenuhi kepentingan semua pemegang taruh," katanya.

Mengakhiri kenyataan itu, Fadzli berkata pihak masjid menyeru semua pihak agar menjadikan Ramadan kali ini sebagai satu manifestasi kehambaan untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Perkara itu sekaligus meraih kemuncak kemuliaan bagi orang beriman iaitu ketaqwaan.

"Raikan kepelbagaian dalam perbezaan untuk menyemai kesatuan dalam titik persamaan," jelasnya.

Siasat dakwaan layanan kasar terhadap jemaah

Dalam satu kenyataan lain di Facebook, pihak masjid berkata mereka sedang mengenal pasti dan menyiasat dakwaan mengenai layanan kasar terhadap jemaah.

"Kami juga akan mengambil tindakan untuk memperbaiki supaya ianya tidak akan berlaku pada masa akan datang.

"Pihak masjid dengan rendah diri menginsafi dan memohon maaf di atas apa yang berlaku," katanya.