Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Kepercayaan Rakyat Perlu Terus Diraih Melalui Prestasi Dan Kerja - TPM Zahid

KERJA
Kredit: Facebook Zahid Hamidi

Barisan Nasional (BN) perlu terus mendengar suara rakyat, menilai kelemahan serta memahami perubahan landskap politik bagi memastikan kepercayaan yang diberikan tidak disia-siakan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kemenangan BN dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan perlu disyukuri, namun tidak seharusnya menyebabkan parti itu berhenti daripada menilai dan belajar.

Beliau berkata, setiap keputusan pilihan raya membawa suara rakyat yang perlu didengari, selain perubahan yang perlu difahami serta amanah yang mesti diterjemahkan menerusi kerja.

“Malam tadi, saya kembali bersama dalam BN Forum Siri Ke-11 yang mengangkat satu persoalan menarik untuk direnungi bersama, ‘Pasca PRN Johor dan Negeri Sembilan: Dinamika Baharu Politik Malaysia?’

“Alhamdulillah, rakyat telah memberikan kepercayaan yang besar kepada Barisan Nasional dalam kedua-dua pilihan raya tersebut,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Menurut Ahmad Zahid, beliau turut mendengar dan meneliti pelbagai pandangan yang dilontarkan barisan panel sepanjang forum berkenaan.

Katanya, politik hari ini semakin dinamik manakala pengundi pula semakin matang dalam membuat pilihan.

“Tiada parti boleh menganggap kepercayaan rakyat sebagai sesuatu yang kekal. Ia perlu terus diperoleh melalui prestasi, kerja yang konsisten dan keupayaan memahami denyut nadi rakyat,” ujarnya.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada semua pihak yang menjayakan BN Forum sehingga siri ke-11.

Jelasnya, sambutan berterusan terhadap program itu membuktikan ruang wacana terbuka dan berilmiah masih penting dalam perbincangan politik di peringkat nasional.

Ahmad Zahid berkata, budaya berani mendengar, menilai kelemahan, membaca perubahan dan memperbaiki diri perlu terus disuburkan dalam BN demi kelangsungan masa hadapan.

“Kemenangan kita syukuri. Kekurangan kita insafi. Kepercayaan rakyat terus kita santuni.

“Kerana akhirnya, politik yang lebih baik perlu menghasilkan sebuah negara yang lebih baik. Insya-Allah,” katanya.

Intipati
  • Ahmad Zahid berkata BN perlu terus mendengar suara rakyat dan menilai kelemahan.
  • Beliau menyifatkan kemenangan PRN Johor dan Negeri Sembilan sebagai amanah untuk diterjemahkan melalui kerja.
  • BN Forum Siri Ke-11 membincangkan dinamika baharu politik Malaysia selepas dua pilihan raya negeri.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan