Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Kerajaan Negeri Sokong Sepenuhnya Pembatalan Lesen Network School - Onn Hafiz

Pembatalan Lesen Network School
Kredit: Bernama

Kerajaan Negeri Sokong Sepenuhnya Pembatalan Lesen Network School - Onn Hafiz

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi memaklumkan bahawa kerajaan negeri Johor menyokong sepenuhnya keputusan Mesyuarat Penuh Khas Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) untuk membatalkan lesen perniagaan serta mengarahkan semua aktiviti NS0 Malaysia Sdn. Bhd. (Network School) di Forest City dihentikan berkuat kuasa 22 Julai.

Menurutnya, keputusan tersebut dibuat berdasarkan proses dan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa selepas penelitian terhadap laporan pemeriksaan, dapatan penguatkuasaan serta representasi yang dikemukakan oleh pihak syarikat.

"Untuk makluman, tindakan penguatkuasaan hanya boleh diambil selepas aduan serta maklumat disahkan, pemeriksaan dijalankan, ketidakpatuhan dikenal pasti dan proses undang-undang disempurnakan.

"Tempoh sesuatu premis beroperasi tidak bermakna semua aktivitinya sentiasa mematuhi syarat lesen.

"Apabila ketidakpatuhan dikenal pasti, tindakan mesti diambil tanpa kompromi. Kerajaan Negeri akan terus memperketat penyelarasan antara agensi agar sebarang ketidakpatuhan dapat dikesan dan ditangani segera," katanya menerusi satu kenyataan.

Onn menegaskan bahawa Johor sentiasa mengalu-alukan pelaburan berkualiti tinggi yang memberi manfaat kepada ekonomi, mewujudkan peluang pekerjaan dan memacu pembangunan negeri.

Bagaimanapun, tiada mana-mana pelabur, syarikat atau organisasi boleh diletakkan mengatasi kedaulatan undang-undang negara.

"Dalam ruang lingkup bidang kuasa yang diperuntukkan, Kerajaan Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan tidak akan berkompromi terhadap sebarang pelanggaran undang-undang atau perkara yang boleh menjejaskan keselamatan, kedaulatan dan kepentingan negara.

"Sehubungan itu, kerajaan negeri menggesa Kementerian Dalam Negeri (KDN), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta agensi keselamatan berkaitan meneruskan siasatan dan mengambil tindakan tegas sekiranya terdapat penyalahgunaan pasport kedua, salah nyata identiti, pelanggaran syarat kemasukan atau apa-apa kesalahan di bawah undang-undang Malaysia.

"Perkara ini tidak boleh dipandang ringan, lebih-lebih lagi apabila Johor merupakan pintu masuk strategik negara yang bersempadan dengan Singapura.

"Sebarang kelemahan atau penyalahgunaan sistem imigresen mesti ditangani segera, tegas dan tanpa kompromi," ujarnya.

Dalam pada itu, Kementerian Digital dan Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) digesa mengambil tindakan sewajarnya terhadap status Malaysia Digital atau sebarang pengiktirafan yang telah diberikan kepada organisasi berkenaan sekiranya terdapat ketidakpatuhan terhadap syarat atau prinsip yang ditetapkan.

Selain itu, kerajaan negeri juga menggesa semua agensi berkaitan memperketat proses “due diligence”, termasuk semakan latar belakang, pemilikan, sumber pembiayaan, bentuk operasi serta naratif yang dibawa oleh mana-mana syarikat atau organisasi.

"Penyelarasan antara agensi juga perlu diperkukuh agar setiap pelaburan atau inisiatif antarabangsa diteliti secara menyeluruh dari aspek pelesenan, imigresen, keselamatan, penggunaan premis dan pematuhan undang-undang.

"Kerajaan Negeri akan terus bekerjasama dengan semua pihak bagi memastikan Johor kekal sebagai destinasi pelaburan yang diyakini, tanpa berkompromi terhadap keselamatan, kedaulatan dan undang-undang negara," katanya.

Tambahnya lagi, perkara ini telah disembah maklum serta perkenan kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong serta Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail.