Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Kerajaan Sedia Kaji Cadangan Gabung Elemen GST, SST Untuk Sistem Cukai Lebih Progresif - PM Anwar

GST, SST
Kredit: Bernama

PUTRAJAYA, 18 Ogos (Bernama) -- Kerajaan bersedia untuk mengkaji cadangan menggabungkan elemen Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dengan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) untuk memastikan sistem percukaian negara yang lebih progresif, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau yang juga Menteri Kewangan bagaimanapun berkata Malaysia masih akan mengekalkan SST sebagai sistem percukaian negara, namun akan dipertimbangkan sekiranya terdapat beberapa ciri (dalam GST) yang boleh diterima.

“Tetapi saya tidak mahu bertolak ansur dalam satu hal...saya tidak mahu cukai ke atas rakyat secara menyeluruh sepertimana pangkal (asas) pandangan dalam GST,” kata beliau kepada pemberita selepas menghadiri sesi penutup Majlis Libat Urus Belanjawan 2027 di sini hari ini.

Perdana Menteri berkata, beliau pada dasarnya tidak bersetuju dengan GST berikutan ia adalah sistem percukaian yang lebih meluas, dengan cukai berkenaan dikenakan kepada seluruh rakyat.

Anwar berkata, menerusi sistem percukaian GST, semua lapisan rakyat akan terkesan termasuk kumpulan yang mempunyai kekangan ekonomi.

“Kalau bercakap mengenai GST sahaja, yang saya bimbangkan, dan telah saya lahirkan kebimbangan ini berulang kali ialah, (cukai) ini nak cukai rakyat.

“Walaupun ada yang mengatakan cukai ini (lebih) efisien, tetapi ia cukai (kepada) rakyat, maknanya orang yang tidak pernah bayar cukai, mesti bayar. Bagaimana kita mahu menjawab dalam keadaan sekarang? Dengan kos sara hidup, (ia akan menjadi) beban kepada rakyat,” kata Perdana Menteri.

Terdahulu, Majlis Libat Urus Belanjawan 2027 turut dihadiri Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, Timbalan Menteri Kewangan Liew Chin Tong, Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Johan Mahmood Merican, Gabenor Bank Negara Malaysia Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour, ketua setiausaha dan ketua perkhidmatan, pegawai kanan kerajaan, wakil industri, persatuan, badan bukan kerajaan serta tokoh ekonomi dan ilmuan.

Bertemakan Malaysia MADANI: Menggapai di Langit, Mengakar di Bumi, Belanjawan 2027 dijadual dibentangkan di Parlimen pada 9 Oktober ini.

Sumber:BERNAMABIZ
Intipati
  • Kerajaan bersedia mengkaji cadangan menggabungkan elemen GST dan SST, kata Anwar Ibrahim.
  • Anwar berkata Malaysia masih mengekalkan SST, namun ciri GST tertentu boleh dipertimbangkan.
  • Beliau bimbang GST membebankan semua lapisan rakyat ketika kos sara hidup meningkat.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan