Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Kerajaan Teliti Mansuh Pengecualian Insurans Kenderaan Thailand Di Zon Sempadan - Hasbi
KUALA LUMPUR, 25 Jun (Bernama) -- Kerajaan sedang meneliti keperluan untuk memansuhkan pengecualian insurans bagi kenderaan Thailand yang memasuki Malaysia dalam lingkungan dua kilometer dari pintu sempadan darat tertentu bagi memperkukuh perlindungan kepada pengguna jalan raya tempatan.
Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah berkata langkah itu selaras dengan tindakan kerajaan Thailand yang kini mewajibkan insurans bagi semua kenderaan Malaysia yang memasuki negara itu walaupun bagi jarak kurang dua kilometer.
“Pengecualian tersebut diwujudkan berdasarkan prinsip timbal balas yang diamalkan sejak 1994 antara Malaysia dan Thailand. Kerajaan mengambil maklum keadaan semasa memerlukan dasar ini dinilai semula.
“Isu kemalangan jalan raya melibatkan kenderaan asing, kesukaran tuntutan pihak ketiga, cabaran penguatkuasaan serta keperluan perlindungan yang lebih menyeluruh kepada rakyat Malaysia merupakan antara perkara sedang diteliti oleh kementerian,” katanya pada sesi Kamar Khas Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Rushdan Rusmi (PN-Padang Besar) yang membangkitkan isu ketiadaan insurans wajib bagi kenderaan Thailand yang memasuki Malaysia.
Mengulas lanjut, Hasbi berkata kerajaan turut mengkaji model terbaik bagi memperluaskan pelaksanaan sistem kutipan Caj Jalan dan Rekod Kemasukan Kenderaan Asing (RCVEP) yang kini dilaksanakan di sempadan Johor-Singapura ke lapan pintu sempadan di wilayah utara.
Beliau berkata melalui pelaksanaan sistem itu kelak, pengecualian insurans bagi kenderaan Thailand yang memasuki kawasan sempadan berkenaan boleh dihapuskan dan kemasukan kenderaan asing dapat direkodkan dengan lebih sistematik.
“Cadangan insurans sementara atau perlindungan pihak ketiga bagi kenderaan asing juga boleh diteliti sebagai sebahagian daripada mekanisme pelaksanaan, tertakluk kepada keseluruhan sistem kos yang munasabah, kaedah pengesahan di pintu masuk serta penyelarasan dengan agensi-agensi berkaitan,” katanya.
Selain memperkukuh sistem RCVEP, Hasbi berkata langkah lain sedang diteliti termasuk meningkatkan kerjasama antara Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), agensi keselamatan dan agensi di pintu masuk negara serta meneliti mekanisme tuntutan pihak ketiga supaya mangsa kemalangan tidak menanggung kerugian sendiri.
Beliau berkata kementerian turut mengadakan rundingan bersama industri insurans berhubung cadangan penerimaan insurans Thailand untuk digunakan di Malaysia dan insurans Malaysia yang boleh diguna pakai di Thailand.