Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Kerugian RM157 Juta UiTM Holdings Bukan Isu Baharu - Fathul Bari

UITM
Kredit: Facebook Dr Fathul Bari

Kerugian terkumpul sekitar RM157 juta yang dikaitkan dengan UiTM Holdings bukan merupakan kerugian baharu di bawah kepimpinan semasa, kata Pengerusi UiTM Holdings Sdn Bhd, Datuk Dr Fathul Bari Mat Jahya.

Beliau berkata, angka berkenaan telah dilaporkan sejak 2023 dan ketika itu Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menjelaskan bahawa ia merupakan kerugian terkumpul sejak 2007.

Menurut Fathul Bari, isu berkenaan turut diteliti menerusi Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2022 serta prosiding Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), sebelum laporan PAC dibentangkan pada 2024.

“Dato’ Mohd Shukrie Mohd Salleh menerajui pengurusan UiTM Holdings sejak Januari 2025, dengan pengalaman pernah menerajui Malaysia Airports, KPJ Healthcare serta memegang posisi penting dalam beberapa GLC dan organisasi korporat utama.

“Saya pula mengambil amanah sebagai Pengerusi pada Ogos 2025. Bersama Lembaga Pengarah dan pengurusan, mandat kami jelas: memulihkan prestasi, memperkukuh tadbir urus, membina semula keyakinan dan meletakkan UiTM Holdings kembali pada landasan pertumbuhan,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook hari ini.

Ujarnya, pihak pengurusan tidak menjadikan isu legasi sebagai alasan, sebaliknya mengambil pendekatan mengenal pasti masalah yang diwarisi untuk diselesaikan.

“Kami tidak menggunakan legacy issues sebagai alasan. Kami mengenal pasti legasi tersebut untuk menyelesaikannya,” katanya.

Sehubungan itu, Fathul Bari yang juga Ahli Lembaga Pengarah UiTM (LPU) berharap isu berkenaan tidak dipolitikkan oleh mana-mana pihak atau parti.

Katanya, perkara itu bukan isu politik, sebaliknya berkaitan usaha memulihkan sebuah aset milik universiti.

“Jika UiTM Holdings kukuh, nilai akhirnya kembali kepada UiTM. Jika ia terus lemah, UiTM juga menerima kesannya,” katanya.

Cadang Kerangka Nasional

Dalam pada itu, Fathul Bari mencadangkan kepada Perdana Menteri, khususnya dalam kapasiti sebagai Menteri Kewangan, supaya meneliti satu kerangka nasional bagi membolehkan syarikat pegangan dan anak syarikat universiti diberikan First Right of Refusal (FROR) untuk peluang perniagaan yang bersesuaian dalam ekosistem universiti masing-masing.

Jelasnya, cadangan itu bagaimanapun perlu tertakluk sepenuhnya kepada merit, due diligence, daya saing serta tadbir urus.

“Bukan projek percuma. Bukan monopoli. Tetapi peluang pertama untuk bersaing dan dinilai secara profesional,” ujarnya.

Menurutnya, sekiranya syarikat universiti berupaya melaksanakan sesuatu projek secara kompetitif, nilai ekonomi tersebut wajar dikekalkan dalam ekosistem universiti.

“Keuntungan anak syarikat universiti akhirnya harus kembali memperkukuhkan universiti,” katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan UiTM menjalankan semakan terhadap tadbir urus dan pengurusan UiTM Holdings susulan kebimbangan berhubung kerugian yang dialami syarikat berkenaan.

Anwar berkata, semakan itu perlu dilaksanakan dengan kerjasama Naib Canselor UiTM dan Jabatan Perdana Menteri (JPM), yang akan memberikan sokongan sekiranya diperlukan.