KUALA LUMPUR, 14 Okt (Bernama) -- Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.4 bilion selepas beliau disabitkan dengan kesalahan dalam kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Hakim Noor Ruwena Md Nurdin memutuskan bahawa bekas Perdana Menteri itu gagal memenuhi ujian keadaan luar biasa yang diperlukan bagi mewajarkan penangguhan pelaksanaan kedua-dua hukuman.
“Saya lebih bersetuju dengan hujah Timbalan Pendakwa Raya bahawa tahap keseriusan kesalahan adalah pertimbangan kepentingan awam yang lebih penting dan perlu diambil kira oleh mahkamah ini.
“Pemohon bukan lagi pesalah kali pertama apabila beliau disabitkan dengan kesalahan oleh hakim perbicaraan dalam kes 1MDB yang berkaitan,” katanya.
Beliau juga berkata mahkamah tidak bersetuju bahawa isu kesihatan yang dibangkitkan memenuhi ujian keadaan luar biasa kerana laporan perubatan yang dikemukakan memberi gambaran keperluan perubatan Najib telah dijaga dengan baik oleh pihak kerajaan, hospital dan pakar perubatan.
Sebaik sahaja keputusan itu diumumkan, peguam utama Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memaklumkan mahkamah bahawa beliau akan memfailkan permohonan baharu untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman di Mahkamah Rayuan selepas memperoleh alasan penghakiman penuh.
Terdahulu, Muhammad Shafee berhujah susulan keputusan mahkamah pada Disember tahun lepas, pihak pembelaan tidak bercadang untuk memohon penangguhan pelaksanaan hukuman penjara kerana ketika itu, Najib sedang dan masih menjalani hukuman bagi kes SRC International Sdn Bhd.
Beliau berkata keputusan itu dibuat bagi membolehkan Najib mendapat manfaat sepenuhnya daripada pelaksanaan hukuman secara serentak, sekiranya mahkamah rayuan membuat keputusan yang memihak kepadanya berhubung persoalan sama ada hukuman dalam kes semasa boleh dijalankan serentak dengan hukuman dalam kes SRC.
“Keputusan untuk tidak mengemukakan permohonan penangguhan ketika itu dibuat atas dasar pemohon mempunyai kebebasan untuk memohon penangguhan pada tarikh kemudian, bergantung pada perkembangan undang-undang atau keadaan lain yang timbul selepas itu,” katanya sambil menambah faktor usia dan keadaan kesihatan Najib wajar diambil kira ketika memutuskan permohonan itu.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Ahmad Akram Gharib yang membantah permohonan tersebut, berhujah Najib gagal menunjukkan sebarang keadaan khas atau luar biasa yang mewajarkan penangguhan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan.
“Jika penangguhan diberikan, responden yang mewakili kepentingan awam akan mengalami prejudis sebenar kerana pelaksanaan sabitan yang sah akan digantung, dan ini berpotensi menjejaskan keyakinan orang ramai terhadap pentadbiran keadilan serta melambatkan penyelesaian muktamad bagi kes yang telah mengambil masa tujuh tahun dari peringkat pertuduhan hingga sabitan,” katanya.
Ahmad Akram berhujah bahawa kepentingan keadilan, keseriusan kesalahan, sabitan terdahulu tertuduh dan kepentingan awam yang mendesak menyokong penolakan permohonan ini.
Pada 26 Dis tahun lepas, Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan denda RM11.4 bilion ke atas Najib dalam kes 1MDB.
Susulan itu, pada 29 Dis tahun lepas, Najib memfailkan notis rayuan di Mahkamah Rayuan terhadap keputusan tersebut.
Bagaimanapun, beliau tidak memohon penangguhan pelaksanaan hukuman.
Bagi pertuduhan salah guna kuasa, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun bagi setiap pertuduhan dan denda keseluruhan berjumlah RM11.4 bilion, atau penjara 40 tahun jika gagal membayar denda.
Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram, Najib dihukum penjara lima tahun bagi setiap pertuduhan.
Najib, yang kini berusia 73 tahun, akan menjalani hukuman penjara selama 15 tahun kerana mahkamah memerintahkan kesemua hukuman penjara dijalankan secara serentak.
Hukuman itu akan dijalankan secara berturut-turut selepas Najib selesai menjalani hukuman penjara enam tahun sedia ada bagi kesalahan menyeleweng dana RM42 juta dalam kes SRC International, yang berakhir pada 23 Ogos 2028.
Bulan lepas, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim telah berkenan memberi pengampunan bersyarat kepada Najib, membolehkan beliau menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah hingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada pembayaran denda sebanyak RM50 juta.
-- BERNAMA

