Pelajar yang menduduki Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) tidak diwajibkan lulus subjek Bahasa Melayu (BM) untuk memasuki empat universiti milik Sarawak atau menikmati manfaat Skim Pendidikan Tinggi Percuma (FTES), selagi memenuhi syarat kemasukan yang ditetapkan.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dr Annuar Rapaee berkata, penguasaan Bahasa Melayu bukan prasyarat bagi pemegang UEC untuk melanjutkan pengajian di universiti berkenaan atau menerima manfaat skim pendidikan percuma itu.
Menurutnya, dasar berkenaan merangkumi 64 kursus yang ditawarkan di bawah FTES dan kelayakan pelajar ditentukan berdasarkan syarat kemasukan universiti masing-masing.
“Persoalan ini sangat penting kerana ia membezakan dasar yang kita laksanakan di Sarawak, sama ada Bahasa Melayu menjadi prasyarat penting untuk memasuki empat universiti kita atau turut menjadi kriteria penting bagi pelajar UEC untuk layak menerima pendidikan tinggi percuma.
“Yang Berhormat, jawapannya tidak. Bahasa Melayu tidak diperlukan untuk mereka layak memasuki universiti kita atau menerima pendidikan tinggi percuma,” katanya ketika sesi soal jawab lisan semalam.
Annuar berkata, pemegang UEC perlu memenuhi syarat kemasukan yang sama seperti pemohon lain, termasuk memperoleh sekurang-kurangnya lima gred B pada peringkat menengah atas dalam peperiksaan berkenaan.
Katanya, pelajar yang memenuhi syarat tersebut dan mengikuti salah satu daripada 64 kursus yang diliputi FTES layak menerima manfaat skim berkenaan.
Sarawak mempunyai empat universiti dalam sistem pendidikan tingginya, iaitu Universiti Teknologi Sarawak (UTS) di Sibu, Curtin University Malaysia di Miri, Swinburne University of Technology Kampus Sarawak serta i-CATS University College yang kedua-duanya terletak di Kuching.
FTES yang dilancarkan tahun ini menanggung yuran pengajian bagi pelajar ijazah sarjana muda yang memenuhi kelayakan dan mengikuti 64 program pengajian di bawah skim berkenaan.
Dalam pada itu, Annuar turut membandingkan pendekatan Sarawak dengan dasar berkaitan syarat bahasa untuk kemasukan ke universiti di tempat lain.
Beliau berkata, dasar negeri itu bertujuan memastikan pemegang UEC tidak dianggap berbeza daripada pemohon lain selagi mereka memenuhi syarat kemasukan yang ditetapkan.
“Dasar ini menunjukkan perbezaan yang sangat ketara berbanding pendekatan yang diguna pakai di tempat lain.
“Jadi, saya berharap ini menjadi mesej yang sangat jelas kepada seluruh rakyat Sarawak, khususnya pemegang UEC, bahawa anda tidak berbeza berbanding orang lain.
“Selagi anda layak memasuki empat universiti itu, anda secara automatik layak menerima FTES,” katanya.
Bagaimanapun, beliau mengingatkan pemegang UEC supaya memastikan mereka menguasai bahasa Inggeris dengan baik memandangkan bahasa itu digunakan sebagai bahasa pengantar di universiti berkenaan.

