Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Jumlah kes penyakit Tuberculosis (tibi) di Malaysia mencatatkan peningkatan 4.4 peratus setakat 6 Jun lalu berbanding tempoh sama tahun lalu, namun situasi keseluruhannya masih berada dalam keadaan terkawal.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, sehingga Minggu Epidemiologi (ME) ke-22 tahun ini, sebanyak 11,257 kes tibi direkodkan berbanding 10,779 kes bagi tempoh sama pada 2025.
Menurut beliau, pertambahan sebanyak 478 kes itu selari dengan jangkaan susulan usaha berterusan kerajaan mempergiatkan aktiviti pengesanan awal bagi memastikan pesakit menerima rawatan secepat mungkin.
“Peningkatan ini adalah selaras dengan usaha pengesanan yang lebih aktif bagi membolehkan pesakit dikenal pasti dan dirawat lebih awal,” katanya dalam jawapan bertulis di Parlimen.
Katanya, dalam tempoh sama, sebanyak 492 kematian akibat tibi direkodkan berbanding 856 kematian pada tahun lalu, sekali gus menunjukkan penurunan sebanyak 43.1 peratus.
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Dr Sivakumar Varatharaju Naidu (PH- Batu Gajah) mengenai status semasa penyakit tibi di negara ini termasuk trend jangkitan, kadar kematian dan cabaran dalam pengesanan kes.
Dalam pada itu, Dzulkefly berkata antara cabaran utama dalam mengesan penyakit tersebut lebih awal ialah tempoh inkubasi bakteria yang panjang sebelum gejala muncul.
Menurutnya, keadaan itu menyebabkan ramai pesakit lambat mendapatkan pemeriksaan dan rawatan.
Selain itu, katanya, faktor sosial serta geografi seperti kurang kesedaran mengenai gejala tibi, stigma masyarakat dan kesukaran mendapatkan akses kepada kemudahan kesihatan di kawasan tertentu turut menjadi antara halangan utama.
“Penggunaan teknologi pengesanan yang kurang sensitif dan mempunyai spesifisiti rendah juga menjadi cabaran dalam usaha mengenal pasti kes tibi dengan lebih cepat,” ujarnya.
Beliau berkata, dari sudut rawatan pula, tempoh rawatan yang panjang iaitu sekurang-kurangnya enam bulan serta kesan sampingan ubat boleh memberi kesan terhadap tahap pematuhan pesakit.
Katanya, kegagalan mematuhi rawatan bukan sahaja boleh menyebabkan rawatan gagal, malah meningkatkan risiko penularan penyakit dan berlakunya tibi rintang ubat (DRTB).
“Pesakit DRTB memerlukan rawatan lebih kompleks dengan tempoh sehingga dua tahun selain kos rawatan yang lebih tinggi,” katanya.