Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Kes Zayn Rayyan: Barang & Objek Ditemui Polis Jadi Petunjuk Baharu
PETALING JAYA — Beberapa barangan dan objek yang dipercayai boleh dijadikan petunjuk baharu dalam kes pembunuhan Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matiin ditemukan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), lapor Sinar Harian.
Menurut Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, hasil daripada pemeriksaan yang dilakukan dari rumah ke rumah buat kali kedua oleh pihak polis di Blok R, Apartmen Idaman, Damansara Damai pada malam Selasa berjaya membawa kepada penemuan tersebut.
Hussein berkata, bukti-bukti baharu yang diperoleh itu bagaimanapun perlu dianalisa terlebih dahulu dan disiasat dengan lebih lanjut.
“Setakat ini tiada perkembangan positif dalam usaha menjejak pembunuh arwah Zayn Rayyan.
“Kita perlu melakukan analisa terlebih dahulu berhubung semua penemuan-penemuan ini dan masih berusaha mengumpul bukti secukupnya,” maklumnya hari ini.
Dalam pada itu, Hussein memberitahu penduduk dibenarkan melakukan aktiviti harian seperti biasa.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai sama ada terdapat arahan khusus dikeluarkan pihak polis terhadap penduduk untuk kekal di blok mereka sewaktu pemeriksaan dilakukan.
Walau bagaimanapun, penduduk bakal dipanggil untuk menjalankan mass DNA screening atau ujian DNA beramai-ramai jika penghuni tiada di rumah atau berada di luar kawasan sewaktu pihak berkuasa melakukan pemeriksaan.

Sebelum ini, dua buah kotak berisi bahan bukti dibawa keluar oleh anggota forensik PDRM dalam pemeriksaan yang mengambil masa sekitar dua jam di setiap rumah di Blok R apartmen itu.
Difahamkan, bukti bagi kes pembunuhan kanak-kanak terbabit terkandung dalam kotak tersebut.
Dalam pemeriksaan itu, lebih 25 anggota daripada Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor terlibat. Ia bermula dari jam 8.40 malam dan berakhir sekitar 10.30 malam semalam.
Antara lokasi yang diberikan tumpuan dalam pemeriksaan adalah tingkat dua dan tiga blok berkenaan.
Namun begitu, pengamal media tidak dibenarkan mendekati kawasan itu mahupun berkumpul di hadapan blok kediaman arwah Zayn dalam usaha memperolehi gambaran lebih terperinci berhubung proses tersebut.
Sumber: Sinar Harian