Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Kesan Penggunaan Gajet Berlebihan Terhadap Emosi & Tingkah Laku Anak
Dalam dunia moden hari ini, penggunaan gajet seperti telefon pintar, tablet, televisyen dan permainan video sudah menjadi sebahagian daripada rutin harian hampir setiap keluarga. Ia bukan lagi sekadar alat hiburan malah turut digunakan sebagai medium pembelajaran dan komunikasi.
Namun begitu, apabila penggunaan gajet berlaku secara berlebihan dan tanpa kawalan yang jelas, ia boleh memberi kesan yang ketara terhadap perkembangan emosi dan tingkah laku anak.
Kanak-kanak yang terlalu kerap terdedah kepada skrin biasanya menerima rangsangan yang sangat tinggi dalam tempoh yang singkat. Rangsangan ini datang daripada video yang bergerak pantas, bunyi yang menarik perhatian sehinggalah kepada permainan yang memberi ganjaran segera.
Lama-kelamaan, otak mereka mungkin menjadi terlalu biasa dengan "kepuasan segera”, menyebabkan mereka kurang bersedia untuk berdepan dengan situasi kehidupan sebenar yang lebih perlahan, tenang dan memerlukan kesabaran.
Dalam artikel kali ini, kami akan kongsikan beberapa kesan penggunaan gajet berlebihan terhadap emosi dan tingkah laku anak yang ibu bapa perlu perhatikan.
Antara kesan paling awal yang sering diperhatikan oleh ibu bapa ialah perubahan emosi apabila penggunaan gajet dihentikan. Anak mungkin menunjukkan reaksi yang lebih kuat seperti menangis, menjerit, merajuk atau enggan bekerjasama apabila telefon atau tablet diambil.
Ada juga situasi di mana anak berulang kali meminta untuk tambah sedikit masa lagi walaupun had masa sudah tamat. Jika keadaan ini berlaku secara kerap, ia boleh menjadi petanda bahawa anak sudah terlalu bergantung kepada gajet untuk mendapatkan rasa seronok dan tenang.
Perubahan emosi ini berlaku kerana otak anak sudah terbiasa dengan rangsangan yang cepat dan menyeronokkan yang akan menyebabkan mereka sukar untuk beralih kepada keadaan yang lebih tenang secara tiba-tiba.
Kanak-kanak yang terlalu banyak menghabiskan masa dengan gajet mungkin mula menunjukkan kesukaran untuk memberi tumpuan kepada aktiviti yang lebih perlahan. Mereka cepat bosan apabila membaca buku, bermain permainan biasa atau melakukan aktiviti yang memerlukan kesabaran.
Berbanding skrin yang sentiasa menawarkan perubahan visual dan audio secara pantas, dunia sebenar memerlukan tumpuan yang lebih stabil dan berterusan. Akibatnya, anak mungkin mudah hilang minat, kerap bertukar aktiviti atau tidak dapat menyelesaikan sesuatu tugasan dengan baik.
Jika tidak dibantu, keadaan ini boleh memberi kesan kepada perkembangan pembelajaran dan keupayaan anak untuk fokus dalam jangka masa panjang.
Satu tabiat yang sering terbentuk tanpa disedari ialah penggunaan gajet sebagai alat menenangkan anak. Contohnya, apabila anak menangis, mereka diberi telefon. Apabila bosan, diberikan tablet atau ketika makan, video dipasang supaya mereka duduk diam.
Walaupun kaedah ini kelihatan praktikal dalam jangka masa pendek, ia boleh menyebabkan anak belajar bahawa satu-satunya cara untuk mengurus emosi ialah dengan bantuan skrin.
Lama-kelamaan, anak mungkin kurang belajar kemahiran penting seperti menenangkan diri sendiri, mengurus rasa kecewa atau menghadapi kebosanan secara sihat.
Di samping itu juga, penggunaan gajet terutama sebelum tidur boleh mengganggu kitaran rehat anak. Cahaya daripada skrin serta kandungan yang terlalu merangsang boleh menyebabkan otak anak terus aktif walaupun badan sudah penat.
Akibatnya, anak mungkin mengambil masa lebih lama untuk tidur, kerap terjaga pada waktu malam atau bangun pagi dalam keadaan letih. Dalam jangka masa panjang, tidur yang tidak berkualiti boleh memberi kesan kepada emosi, tingkah laku dan prestasi pembelajaran mereka.
Sesetengah ibu bapa mula menyedari anak menjadi kurang responsif apabila terlalu fokus kepada gajet. Mereka mungkin tidak menyahut apabila dipanggil, kurang memberi perhatian kepada persekitaran atau lebih memilih untuk terus bermain atau menonton walaupun orang lain cuba berinteraksi.
Jika sebelum ini anak aktif berbual dan berkongsi cerita tetapi kini lebih banyak diam dan fokus kepada skrin. Perubahan ini wajar diberi perhatian kerana ia menunjukkan pengurangan interaksi sosial secara langsung.
Selain itu, interaksi harian bersama manusia juga memainkan peranan penting dalam perkembangan bahasa kanak-kanak. Mereka belajar bercakap, bertanya, menjawab dan memahami emosi melalui perbualan sebenar.
Apabila terlalu banyak masa dihabiskan dengan gajet, peluang untuk berkomunikasi secara aktif menjadi berkurang. Anak mungkin menjadi kurang bercakap, kurang bertanya soalan atau lebih banyak meniru dialog daripada video berbanding berbual secara spontan.
Jika dibiarkan, ia boleh memberi kesan kepada keyakinan diri dan kemahiran komunikasi sosial anak.
Kanak-kanak secara semula jadi memerlukan aktiviti fizikal untuk perkembangan tubuh dan minda mereka. Namun, penggunaan gajet yang berlebihan boleh menyebabkan mereka kurang berminat untuk bermain secara aktif.
Anak yang sebelum ini suka berlari, melukis, bermain blok atau meneroka persekitaran mungkin mula lebih memilih untuk duduk dengan peranti. Perubahan ini boleh mengurangkan peluang mereka untuk membina kreativiti, kemahiran motor dan interaksi sosial bersama rakan sebaya.
Ada kanak-kanak yang hanya mahu makan jika disertakan dengan gajet. Situasi ini mungkin kelihatan biasa tetapi jika menjadi rutin, ia boleh mengganggu hubungan anak dengan makanan dan proses makan itu sendiri.
Apabila fokus terlalu tertumpu kepada skrin, anak mungkin kurang sedar tentang rasa lapar dan kenyang serta tidak benar-benar menikmati waktu makan bersama keluarga. Ini juga boleh mengurangkan peluang komunikasi antara ibu bapa dan anak.
Antar lain, pendedahan berterusan kepada kandungan digital yang cepat dan berubah-ubah boleh menyebabkan anak terbiasa dengan tahap rangsangan yang tinggi. Mereka mungkin mula hilang minat terhadap aktiviti yang lebih perlahan atau kandungan yang memerlukan tumpuan lebih lama.
Akibatnya, hanya kandungan yang bergerak pantas, penuh warna dan sentiasa berubah yang mampu menarik perhatian mereka dalam jangka masa panjang. Keadaan ini secara tidak langsung boleh membentuk kebergantungan kepada rangsangan digital yang tinggi dalam rutin harian mereka.
Selain memberi kesan kepada emosi, penggunaan gajet yang berlebihan juga boleh mula mempengaruhi tingkah laku harian anak tanpa disedari oleh ibu bapa.
Anak mungkin menjadi lebih mudah tersinggung, kurang sabar dalam menunggu, cepat berputus asa apabila berdepan kesukaran kecil atau lebih kerap menunjukkan konflik seperti bergaduh dengan adik-beradik mahupun tidak mahu mendengar arahan daripada ibu bapa.
Perubahan ini biasanya tidak berlaku secara mendadak, sebaliknya berkembang sedikit demi sedikit sehingga menjadi kebiasaan dalam rutin harian mereka.
Namun begitu, jika tidak diberi perhatian dan kawalan yang sewajarnya, ia boleh memberi kesan jangka panjang terhadap pembentukan sahsiah, disiplin diri serta cara anak mengurus emosi dan tingkah laku dalam kehidupan seharian.
Kesimpulannya, penggunaan gajet dalam kehidupan kanak-kanak pada hari ini bukanlah sesuatu yang boleh dielakkan sepenuhnya. Malah, jika digunakan dengan cara yang betul, ia boleh menjadi alat yang sangat bermanfaat untuk pembelajaran, hiburan dan perkembangan kreativiti.
Namun begitu, yang paling penting ialah keseimbangan. Anak tetap memerlukan dunia sebenar untuk membesar dengan sihat. Mereka perlu bermain, bergerak, berinteraksi, bereksperimen dan belajar memahami emosi mereka sendiri melalui pengalaman harian.
Apabila penggunaan gajet dikawal dengan baik dan tidak menggantikan sepenuhnya interaksi manusia serta aktiviti fizikal, anak akan dapat berkembang dengan lebih seimbang dari segi emosi, tingkah laku dan sosial.