Kesucian dan keselamatan Dua Tanah Haram, Makkah al-Mukarramah dan Madinah al-Munawwarah, perlu mengatasi segala bentuk konflik serta perselisihan politik dan ketenteraan, kata Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Kesucian Dua Tanah Haram tidak boleh dijadikan medan konflik
Beliau berkata kedua-dua kota suci itu mesti kekal terpelihara daripada sebarang bentuk konflik, ancaman atau tindakan ketenteraan, tanpa mengira dari mana datangnya ancaman berkenaan atau pihak yang berada di belakangnya.
“Saya menolak dan mengecam sekeras-kerasnya sebarang tindakan yang boleh mengancam keselamatan orang awam, para jemaah haji dan umrah serta tetamu Allah, atau mencemarkan dua tempat suci umat Islam,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata Malaysia menghormati kedaulatan, keselamatan dan keutuhan wilayah Kerajaan Arab Saudi serta menghargai hubungan persaudaraan yang erat dan telah lama terjalin antara kedua-dua negara.
“Sebesar mana sekalipun perselisihan politik atau ketenteraan, kesucian Dua Tanah Haram tidak boleh dijadikan medan pertarungan atau bahan pertaruhan,” katanya.
Beliau turut menyeru seluruh umat Islam supaya bersatu dan menunjukkan solidariti dalam mempertahankan kesucian Dua Tanah Haram dengan melangkaui perbezaan politik dan sempadan negara.
Dalam pada itu, beliau mendoakan agar Allah SWT terus memelihara Penjaga Dua Tanah Suci, Raja Salman bin Abdulaziz Al Saud, serta mengurniakan kesihatan dan kesejahteraan kepada baginda.
Beliau turut mendoakan agar Putera Mahkota merangkap Perdana Menteri Arab Saudi, Putera Mohammed bin Salman bin Abdulaziz Al Saud, terus dilindungi dan diberikan taufik, selain mendoakan kesejahteraan seluruh rakyat negara berkenaan.
“Semoga Allah SWT terus memelihara Kerajaan Arab Saudi, mengurniakan keamanan, kestabilan dan kemakmuran kepadanya serta melindungi Dua Tanah Haram dan seluruh tetamu Allah daripada segala ancaman dan keburukan,” katanya.

