Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Usahawan dan pempengaruh terkenal, Khairul Aming tampil memberi penjelasan berhubung prosedur operasi standard (SOP) di restoran miliknya, Rembayung susulan isu tular melibatkan bayi yang turut dikira sebagai satu pax.
Perkara itu menjadi perhatian selepas seorang pelanggan mendakwa ahli keluarganya tidak dibenarkan masuk ke restoran berkenaan kerana tempahan hanya dibuat untuk empat orang dewasa, sedangkan mereka turut membawa seorang bayi berusia tujuh bulan.
Perkongsian tersebut mengundang pelbagai reaksi netizen yang mempersoalkan ketetapan SOP berkenaan dan menyifatkannya sebagai terlalu ketat.
Menerusi satu video penjelasan di Facebook, Khairul Aming berkata beliau telah membaca lebih 1,000 komen yang ditinggalkan pengguna media sosial mengenai isu tersebut.
Menurutnya, ramai yang menganggap pihak restoran tidak bertolak ansur dengan pelanggan yang membawa bayi.
“Ada yang kata SOP ni mengada-ngada, ada juga yang cakap saya tak ada empati terhadap pelanggan,” katanya.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan peraturan itu bukan dibuat secara suka-suka, sebaliknya hasil pengalaman sepanjang enam bulan operasi Rembayung.
Katanya, pada awal pembukaan restoran, bayi tidak dikira sebagai satu pax sekiranya ibu bapa memilih untuk mendukung anak masing-masing.
Namun keadaan berubah apabila ramai pelanggan hadir bersama stroller, termasuk ketika bayi sedang tidur.
Jelasnya, susun atur meja di Rembayung direka dengan ruang laluan di setiap sisi bagi memudahkan pekerja membawa makanan panas dan minuman menggunakan cawan kaca.
Disebabkan itu, bayi perlu dimasukkan dalam jumlah pax supaya pihak restoran boleh mengalihkan satu kerusi dewasa dan menyediakan ruang untuk stroller bagi memastikan keadaan lebih selamat.
Khairul Aming turut menjelaskan pihaknya sebelum ini pernah memberi kelonggaran kepada pelanggan yang mendukung anak tanpa mengira mereka sebagai pax.
Namun, katanya, situasi menjadi sukar dikawal apabila ada pelanggan membawa kanak-kanak lebih besar dan mahu mendukung mereka sepanjang berada di restoran.
Menurut beliau, kanak-kanak lazimnya aktif dan boleh bergerak secara tidak dijangka, sekali gus meningkatkan risiko kemalangan seperti terkena makanan panas atau menjatuhkan barangan kaca.
Beliau turut menjawab persoalan mengapa pihak restoran tidak sekadar menyediakan kerusi bayi tanpa mengira mereka dalam jumlah pax.
Katanya, perkara itu melibatkan faktor keselesaan pelanggan lain kerana ruang makan di Rembayung agak terhad dan setiap meja perlu diurus dengan teliti.
Tambahnya, apabila bayi atau kanak-kanak dikira sebagai pax, susunan tempat duduk boleh diubah dengan lebih sesuai agar semua pelanggan dapat menikmati pengalaman makan yang lebih selesa.
Khairul Aming berkata, pihaknya juga pernah berdepan situasi apabila ibu bapa memilih untuk makan di dalam restoran manakala bayi dijaga di luar oleh ahli keluarga lain.
Namun selepas itu, timbul pula dakwaan di media sosial kononnya pihak restoran membiarkan bayi berada di luar dalam keadaan panas.
Susulan insiden tersebut, beliau memutuskan untuk mengemas kini SOP selepas Aidilfitri dengan menetapkan semua bayi dan kanak-kanak dikira sebagai sebahagian daripada jumlah pax tanpa mengira umur.
Menurutnya, setiap SOP perlu dilaksanakan secara konsisten bagi mengelakkan kekeliruan atau dakwaan layanan tidak adil antara pelanggan.
Tambah beliau, operasi Rembayung berbeza dengan restoran biasa kerana menerima sekitar 1,000 pelanggan setiap hari dengan tempahan penuh sehingga dua minggu lebih awal.
Dalam masa sama, Khairul Aming memohon maaf sekiranya SOP berkenaan menimbulkan rasa kurang selesa kepada sesetengah pelanggan, namun menegaskan segala peraturan dibuat demi memastikan keselamatan dan kelancaran operasi restoran.