Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

JETP Mampu Pacu Johor Ke Arah Negeri Maju Menjelang 2030

JETP
Datuk Seri Dr Ahmad Maslan

JETP Mampu Pacu Johor Ke Arah Negeri Maju Menjelang 2030

Pelan Transformasi Ekonomi Johor (JETP) dilihat sebagai langkah strategik dan berpandangan jauh dalam usaha membawa Johor ke arah status negeri maju menjelang tahun 2030.

Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor, Datuk Seri Dr. Ahmad Maslan berkata, pelan itu bukan hanya memfokuskan kepada pertumbuhan ekonomi semata-mata, sebaliknya menitikberatkan pembangunan menyeluruh yang memberi manfaat langsung kepada rakyat.

Menurut beliau, manfaat itu merangkumi peluang pekerjaan, pembangunan modal insan, pelaburan, perniagaan serta peningkatan taraf hidup masyarakat.

Katanya, JETP yang dilancarkan Menteri Besar Johor, Onn Hafiz Ghazi disifatkan sebagai satu perubahan besar atau game changer dalam landskap pembangunan negeri.

Jelasnya, pelan tersebut melibatkan perancangan jangka panjang yang tersusun meliputi kesemua 10 daerah di Johor.

“Antara sektor utama yang diberi penekanan menerusi pelan ini termasuk industri kimia dan petrokimia, tenaga, elektronik dan pusat data, aeroangkasa, logistik, pelancongan, penjagaan kesihatan serta pertanian.

“Pelaksanaan JETP berpotensi membuka lebih banyak peluang pekerjaan berpendapatan tinggi kepada rakyat Johor selain menarik pelaburan baharu yang mampu merancakkan ekonomi negeri,” katanya menerusi satu kenyataan di Facebook hari ini.

Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata, pendekatan inklusif menerusi JETP turut menunjukkan komitmen kerajaan negeri untuk memastikan pembangunan tidak hanya tertumpu kepada aspek ekonomi.

Sebaliknya, katanya, ia turut merangkumi urus tadbir, jaringan keselamatan sosial, kemudahan asas, kelestarian alam sekitar serta pembangunan golongan muda.

Beliau berkata, kerjasama bersepadu antara kerajaan negeri, penjawat awam, sektor swasta, ahli akademik dan masyarakat akar umbi amat penting bagi memastikan sasaran meningkatkan saiz ekonomi Johor daripada RM158 bilion kepada RM201 bilion menjelang 2030 dapat direalisasikan.

“Dengan perancangan yang jelas dan pelaksanaan yang berkesan, JETP diyakini mampu menjadi pemangkin kepada kemajuan Johor serta mewujudkan Bangsa Johor yang lebih maju, berdaya saing dan sejahtera pada masa hadapan,” ujarnya.