Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Kim Jong Un Dilantik Semula Sebagai Presiden Hal Ehwal Negara Korea Utara

Azizah Najib
KIM JONG UN dilantik semula sebagai PRESIDEN korea utara
Kredit: AFP

Kim Jong Un Dilantik Semula Sebagai Presiden Hal Ehwal Negara Korea Utara

Seoul - Korea Utara melantik semula Kim Jong Un sebagai Presiden Hal Ehwal Negara, lapor AFP memetik media rasmi pada Isnin.

Pelantikan semula Kim sebagai ketua badan pembuat dasar dan pentadbiran tertinggi negara itu, Suruhanjaya Hal Ehwal Negara, diumumkan oleh agensi berita rasmi KCNA.

Pengkritik berpendapat bahawa pilihan raya di Korea Utara telah ditentukan lebih awal dan direka untuk memberi gambaran seolah-olah mempunyai legitimasi demokratik kepada kepimpinan negara.

“Perhimpunan Rakyat Tertinggi (SPA) Republik Demokratik Rakyat Korea memilih semula Rakan Kim Jong Un sebagai Presiden Hal Ehwal Negara Republik Demokratik Rakyat Korea pada sesi pertama penggal ke-15 pada 22 Mac,” lapor KCNA.

Laporan berkenaan menyatakan keputusan melantik semula Kim ke jawatan tertinggi mencerminkan kehendak dan hasrat sebulat suara seluruh rakyat Korea.

Kim merupakan pemerintah generasi ketiga negara bersenjata nuklear itu yang diasaskan oleh datuknya, Kim Il Sung, pada tahun 1948.

Beliau mula memerintah negara itu sejak kematian bapanya, Kim Jong Il, pada tahun 2011.

Seorang penganalisis dari Institut Analisis Pertahanan Korea, Lee Ho-ryung, menyifatkan pilihan raya tersebut sebagai peristiwa yang telah diatur rapi dengan keputusan yang telah ditentukan.

“Sepanjang pemerintahan generasi ketiga, Korea Utara mengadakan pilihan raya sebegini untuk mempamerkan prosedur sebagai usaha mencapai legitimasi politik.

“Tiada siapa menjangkakan keputusan berbeza akan muncul daripada proses tersebut,” katanya.

Gambar yang dikeluarkan KCNA menunjukkan Kim memakai sut rasmi gaya Barat dan duduk di tengah pentas, diapit pegawai kanan di hadapan dua patung besar bapa, Kim Jong Il dan datuk beliau.

Peratusan Undi Tinggi

Sebelum pilihan raya berkenaan, seramai 687 wakil telah dipilih ke SPA dengan rakyat Korea Utara berusia lebih 17 tahun diberi pilihan untuk meluluskan atau menolak calon tunggal yang dikemukakan oleh parti pemerintah.

KCNA sebelum ini melaporkan bahawa wakil baharu tersebut diluluskan dengan 99.3 peratus undi menyokong dan 0.07 peratus menolak. Manakala kadar keluar mengundi dicatat sebanyak 99.99 peratus.

Sumber:AFP News