Seekor kucing yang ditembak di kepala oleh seorang individu, berjaya diselamatkan setelah menjalani rawatan dan kini bersedia untuk diserahkan kepada pemilik baru.
Persatuan Diraja Untuk Menghalang Kekejaman Ke Atas Haiwan (RSPCA), telah melancarkan siasatan berhubung insiden itu yang berlaku di Gregg House Road, Shiregreen pada Khamis (26 November) lalu.

Di dalam kejadian tersebut, kucing jantan yang diberi nama Buddy ditembak di antara matanya menggunakan senapang udara.
Mujurlah, ianya disedari oleh seorang penduduk yang melihat kepala kucing itu mengalami luka dengan terdapat peluru pelet ketika diperiksa.

Penduduk itu kemudiannya meminta pertolongan kepada anggota penyelamat haiwan, Liz Braidley, yang bergegas membawanya ke klinik berhampiran.
Setelah diberikan rawatan, Buddy menunjukkan tindak balas yang baik dan luka akibat tembakan itu juga semakin sembuh.

Dia yang aktif dan mesra, kini berada di bawah jagaan RSPCA sementara menemui ‘rumah baharu’ apabila pulih sepenuhnya.
Sumber: METRO UK
