Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

KJ Gesa UMNO Akui Kelemahan Tadbir Urus Tabung Haji

KELEMAHAN
Kredit: Bernama

KJ Gesa UMNO Akui Kelemahan Tadbir Urus Tabung Haji

Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin menggesa parti itu mengambil pendekatan lebih terbuka terhadap dapatan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Lembaga Tabung Haji (TH), dengan mengakui kelemahan tadbir urus yang berlaku ketika pentadbiran Barisan Nasional (BN) sebagai langkah memulihkan keyakinan rakyat.

Menurut Khairy, pengakuan secara jujur terhadap kelemahan tersebut penting bagi membuktikan UMNO benar-benar komited melaksanakan reformasi dan membawa parti ke arah pemulihan.

Beliau berkata, beliau memahami pendirian beberapa pemimpin UMNO yang menafikan wujudnya unsur penyelewengan atau rasuah dalam pengurusan TH, khususnya ketika kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan Ke-16.

Bagaimanapun, katanya, pendekatan itu tidak lagi memadai sekiranya UMNO mahu dilihat sebagai sebuah parti yang bersedia berubah.

“Saya tidak harap mereka ambil pandangan saya ketika kempen pilihan raya. Mungkin untuk kempen pilihan raya, kita terpaksa cakap tidak ada sakau, kita beri hibah yang lebih dan kekalkan subsidi haji untuk muassasah dan sebagainya.

“Bagaimanapun, apa yang saya nak lihat sekarang, mungkin menjelang Perhimpunan Agung UMNO (PAU) minggu depan, saya rasa sudah tiba masanya untuk UMNO jujur mengenai perkara itu dan katakan ada kegagalan tadbir urus.

“Jika kita ambil pendirian itu, orang akan kata sekurang-kurangnya UMNO ada sedikit bibit perubahan untuk membawa parti ke arah pemulihan sebab mereka mengaku.

“Kita faham masa kempen PRN Negeri Sembilan tidak boleh cakap, tetapi sekurang-kurangnya ada suara di PAU yang mengatakan kita tidak boleh guna alasan ini untuk sapu perkara ini di bawah karpet. Apa yang lemah, gagal dan salah, mestilah kita akui perkara itu,” katanya ketika menghoskan audio siar Keluar Sekejap semalam.

Khairy berkata, pengakuan terhadap kelemahan bukan bermaksud menerima segala tuduhan yang dilemparkan, sebaliknya menunjukkan kematangan politik serta kesediaan memperbaiki kelemahan yang dikenal pasti.

Laporan RCI berkaitan TH yang dinyahklasifikasikan minggu lalu mendedahkan kedudukan kewangan institusi itu berada dalam keadaan kritikal pada 2017 selepas merekodkan kerugian mencecah RM10 bilion sehingga kerajaan ketika itu terpaksa melaksanakan pelan pemulihan.

Sementara itu, bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan yang turut mengendalikan podcast berkenaan berkata, isu tersebut sepatutnya dijadikan peluang untuk UMNO menunjukkan kematangan politik dengan menginsafi kelemahan lalu.

Menurut beliau, peningkatan sokongan yang kembali diperoleh parti itu tidak seharusnya dijadikan alasan untuk mengelakkan proses pembaharuan dalaman.

“UMNO tidak boleh mengambil gelombang sedia ada sebagai satu bukti bahawa tidak perlu melakukan reformasi, minta maaf dan perbaiki diri, dan hanya sekadar retorik biasa kerana menganggap penyatuan Melayu dan segalanya sudah mencukupi.

“Ini soal kelestarian momentum politik,” ujarnya.

Sumber:KS